MPRC DIMINTA TONJOL PANDANGAN CENDEKIAWAN UNTUK PERKUKUH JATI DIRI
PULAU PINANG, 2 September 2015 – Pusat Media dan Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia (MPRC USM) diminta untuk berusaha mendapatkan pandangan dan pendapat tokoh-tokoh cendekiawan negara teruramanya mereka yang telah lama terlibat dalam proses pembinaan dan pembangunan negara dalam memperkukuh jati diri dan memberikan maklumat tepat tentang perkara yang berkaitan dengan usaha pembangunan masyarakat dan negara ini.
Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, pendokumentasian ini penting dalam memberikan maklumat dan pandangan ilmuan dan cendekiawan negara dalam menangkis pelbagai tohmahan yang tidak berasaskan fakta dan data tepat terhadap pelbagai isu sekarang ini."Kita tahu sesetengahnya hanya berasaskan khabar angin dan pandangan berat sebelah yang dibuat oleh pelbagai pihak tanpa mempunyai bukti data dan fakta sebenar yang disebarkan sebagai bahan media sosial dalam meruntuhkan negara," kata Omar kepada warga MPRC di sini.Katanya lagi, kita seharusnya bersama-sama memacu, memangkin serta memajukan pembangunan negara dan bukan menghancurkannya.
Menurut Omar, perbuatan menghina, melakukan provokasi dan menghasut perlu dibendung dan jangan diperbesarkan sehingga boleh menggugat kestabilan sesebuah negara itu dan jangan sama sekali mempermainkan agama misalnya menggunakan nama nabi dalam membuat andaian tertentu.
“Saya telah berpesan kepada para pelajar baharu USM agar terus belajar, belajar dan belajar di Menara Ilmu ini dan jangan terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak sihat dan boleh mencemarkan nama baik institusi tercinta ini”, tegasnya.
Ujar Omar, pelajar-pelajar baharu harus menanam azam dalam diri masing-masing untuk terus mengecapi kecemerlangan dan pihak-pihak di USM yang bertanggungjawab membimbing perlulah melihat modul-modul perancangan operasi terhadap para pelajar ini agar mereka dapat dibentuk dari awal lagi supaya menjadi insan yang dapat menyumbang bakti kepada negara.
Omar juga kecewa dengan cubaan pelbagai pihak yang mempertikaikan integriti media arus perdana dalam membuat liputan berkaitan dengan isu-isu semasa yang sentiasa memberi penekanan terhadap aspek membangunkan negara.
"Sebaliknya sesetengah pihak lebih percaya kepada laporan berita dari pelbagai sumber yang tidak jelas untuk membuat pertimbangan dalam banyak perkara yang sesetengahnya menimbulkan kesusahan kepada orang lain, bersikap subhah dalam menyebarkan berita tidak pasti dan boleh menimbulkan kesusahan kepada orang lain," kata Naib Canselor lagi.
Omar juga meminta agar MPRC bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya kepakaran pelbagai pusat pengajian untuk menjadi pusat berita yang dapat membantu universiti lebih visible dan membantu dalam proses pembangunan negara.
"Saya telah meminta agar diselaraskan usaha menyediakan kertas kerja untuk pertimbangan universiti bagi mewujudkan satu Pusat Media universiti yang menyelaraskan bersama-sama di antara kepakaran Pusat Pengajian Komunikasi, Pusat Pengajian Seni, Pusat Teknologi, Pendidikan dan Multimedia dan MPRC dalam tempoh terdekat untuk merealisasikan usaha tersebut," kata Omar lagi.
Yang hadir pada perjumpaan tersebut ialah Pengarah MPRC Mohamad Abdullah, para pegawai dan seluruh warga MPRC dan Pejabat Naib Canselor USM.
Teks:Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Zamani Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 1629