USM SERTAI PERARAKAN HARI KEBANGSAAN
PULAU PINANG, 1 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyemarakkan sambutan dan perarakan hari kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang 2015 dengan tidak ketinggalan menghantar kontijen untuk perarakan.
Ketua Kontijen USM, Khairul Eruwan Abdul Halim berkata, sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka, sambutan perayaan ini sangat penting dihayati bersama bagi memupuk jati diri dan rasa cinta warga Malaysia terhadap keamanan dan kemakmuran negara hasil sumbangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu.
"Apa yang menarik dengan kontijen USM pada tahun ini adalah penyertaan dari semua lapisan warga universiti yang melibatkan golongan pensyarah, kumpulan pengurusan dan profesional, staf pelaksana, pelajar tempatan dan juga 2 orang pelajar antarabangsa," katanya.
Jelas Khairul Eruwan, pemupukan elemen menjiwai kemerdekaan ini penting untuk dihayati bersama oleh segenap lapisan warga USM iaitu pemupukan budaya menghormati dan cintakan negara yang haruslah disemai serta disemat dalam diri setiap individu yang bergelar rakyat di bumi bertuah yang bernama Malaysia ini.
"Tambah pula USM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi ternama yang menitik beratkan aspek kecemerlangan yang menyeluruh dalam kalangan warga pelajar dan staf, amat perlulah untuk USM memainkan peranan penting dalam pembangunan negara justeru penghayatan nilai dan semangat hari kemerdekaan ini dapat diterjemahkan menerusi semangat bersatu-padu, berdisiplin, bertata-tertib dan pengorbanan tinggi".
"Kehadiran kontijen USM yang mewarnai sambutan hari kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang telah mendapat perhatian dan sambutan ramai terutama kanak-kanak dan ibubapa yang hadir kerana kontijen USM turut diserikan dengan penampilan maskot khas iaitu Helang Merah yang sinonim dengan universiti ini", tambahnya lagi.
Seramai 50 orang peserta perbarisan mewakili kontijen USM telah menjayakan acara yang gilang gemilang ini bersama 85 kontijen lain dari agensi persekutuan, negeri dan NGO seluruh Pulau Pinang.
Program sambutan tahun ini telah diadakan di Bandar Perda, Seberang Perai Tengah dan turut dihadiri oleh TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Hari Kebangsaan 2015 yang disambut meriah di seluruh negara dengan tema ‘Sehati Sejiwa’.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ehsan Jabatan Pendaftar USM
- Created on .
- Hits: 1406