MENIRU DAN PLAGIAT KARYA ORANG AMALAN TIDAK BERINTEGRITI
KUBANG KERIAN, 1 September 2015 – Integriti yang berkait rapat dengan individu dan organisasi adalah sukar untuk diukur namun ia merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu yang berteraskan kepada prinsip kejujuran dan amalan bermoral tinggi.
Menurut Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia, (USM), Khairul Anuar Che’ Azmi, antara pelanggaran utama integriti dalam kalangan pelajar ialah berkait rapat dengan peperiksaan iaitu meniru atau membawa masuk bahan yang dilarang seperti nota.
Perkara ini dikupas dalam Forum Integriti di sini sempena Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2015/2016. Yang hadir sama ialah Ombudsman Profesor Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar yang turut menjadi panel forum.
Md. Salleh pula mengupas tentang isu plagiarisme yang berlaku dalam kalangan pelajar dalam melakukan tugasan yang diberikan oleh pensyarah yang menjadi amalan yang sangat tidak beretika dalam dunia akademik.
“Penciplakan jelas melanggar hak cipta, iaitu hak seseorang atas hasil penemuannya yang dilindungi oleh undang-undang dan plagiat adalah pengambilan penulisan dari pendapat orang lain dan menjadikan seolah-olah pendapat sendiri seperti mana menerbitkan karya penulisan orang lain atas nama dirinya sendiri yang sangat tidak beretika dan jelas sangat tidak berintegriti,” katanya lagi.
Kira-kira 700 orang pelajar baharu hadir mengikuti forum ini.
Teks: Mohd Ridzuwan Ramly/Foto: Wan Mohd Nizamuddin
- Created on .
- Hits: 5717