SEGAK DENGAN SERAGAM BAHARU
PULAU PINANG, 1 September 2015 – Anggota Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USM) kini berimej baharu selaras dengan program transformasi yang bermula kira-kira setahun lalu. Pertukaran pakaian seragam atau uniform ini berkuatkuasa pada 31 Ogos 2015 di semua kampus USM melibatkan seramai 398 orang anggotanya.
"Pakaian seragam baharu yang mula digunakan hari ini kini lebih berimejkan korporat seumpama agensi penguatkuasa lain di negara kita," kata Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Profesor Madya Dr Sundramoorthy A/L M Pathmanathan.
Ini adalah pakaian seragam anggota Jabatan Keselamatan USM keempat sejak penubuhannya pada tahun 1974.
Menurut Sundramoorthy, pertukaran ini diharapkan dapat meningkatkan motivasi dan keberkesanan staf-staf Jabatan Keselamatan dalam menjalankan tugas yang kini lebih mesra pelajar dan warga USM lainnya.
“Yang lebih penting diharapkan imej baharu ini akan lebih menonjolkan Jabatan Keselamatan sebagai satu jabatan yang profesional, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam menjalankan dasar-dasar USM, peraturan dan undang-undang kerajaan Malaysia," tambahnya lagi.
Menurut Sundramoorthy, Jabatan Keselamatan USM bukan sahaja mengubah pakaian seragam anggotanya, tetapi turut mengubah dasar keselamatan USM dan keperluan kawalan keselamatan secara keseluruhan yang lebih positif.
“Pelanggan di Jabatan Keselamatan bukan sahaja dari dalam kalangan staf dan pelajar USM tetapi melibatkan semua orang yang datang ke kampus, yang diharapkan dengan menampilkan perubahan ini, kualiti perkhidmatan yang diberi akan meningkat secara berterusan," kata Sundramoorthy.
Pengarah Jabatan Keselamatan itu turut berharap agar dengan imej baru ini pelajar, staf dan warga usm termasuk tetamu-tetamu luar dapat mengenali staf Jabatan Keselamatan manakala anggotanya pula dapat penuhi tugas mereka dengan lebih tekun, berdisiplin dan menjalankan amanah dengan lebih berkesan dan profesional.
“Kami turut menghargai sokongan daripada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman yang menubuhkan Majlis Keselamatan dan Kelestarian Universiti (MKKU) untuk membantu meningkatkan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan dengan meningkatkan tahap keselamatan setiap warga dan kampus USM," kata Sundramoorthy lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Kapt. (B) Mohamed Fadzil Baharudin berkata, uniform baharu ini mula dirancang penukarannya pada tahun 2007 namun pada ketika itu, tidak disarankan untuk memakai pakaian seragam seperti
polis namun dengan beberapa buah universiti berbuat demikian terutamanya dengan mewujudkan polis bantuan pihaknya lalu mengambil langkah yang bersesuaian tanpa perlu menjadikan anggota Jabatan Keselamatan sebagai entiti pasukan polis bantuan.
“Pada masa kini, USM menggunakan imejnya yang tersendiri dan belum berhasrat untuk menukarkan Jabatan Keselamatan kepada Polis Bantuan seperti yang dilakukan oleh beberapa buah universiti lain," katanya.
Pembantu Keselamatan Kanan, Abd Razak Abdul Ghani, 45 berkata, dengan penukaran uniform baru ini, staf dari Jabatan Keselamatan nampak lebih berketrampilan dan berkeyakinan dalam menjalankan tugas sebagai penguatkuasa di USM.
“Saya nampak usaha ini berupaya meningkatkan keyakinan diri anggota dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan uniform yang sama seperti pakaian PDRM jelas menyuntik semangat kepada warga keselamatan dalam melaksanakan tugas," kata Abd Razak.
Pesara tentera ini turut menganggap inisiatif tersebut satu usaha yang baik daripada pengurusan USM dalam merealisasikan hasrat menjadikan Jabatan Keselamatan lebih releven dengan identiti tersendiri.
Pengawal Keselamatan, Saberina Ishak, 36 turut bersemangat dengan imej baharu dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawal keselamatan USM.
Teks: Syuhada Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 2827