USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

31 BAYI MERDEKA LAHIR DI HUSM

11924272 10207474059874041 5986367448163005884 n

KUBANG KERIAN, 1 September 2015 – Tarikh keramat 31 Ogos 2015 yang merupakan ulang tahun kemerdekaan negara ke-58 membawa makna tersendiri kepada lebih 30 pasangan suami isteri yang bertuah menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Seramai 31 orang bayi terdiri daripada 12 lelaki dan 19 perempuan selamat dilahirkan di HUSM termasuk sepasang bayi kembar perempuan.

Tangisan bayi ‘Merdeka!’ bukan sahaja membawa kegembiraan buat ibu bapa bayi tersebut, tetapi juga turut menggembirakan kakitangan hospital yang berkhidmat menyambut kelahiran bayi Merdeka pada Hari Kebangsaan bermula jam 12.01 pagi sehingga 11.59 malam.

Bagi Nur Nabihah Abdullah, 21, kehadiran anak sulungnya Naila Nurjannah bukan sahaja memberikan rahmat baginya dan suami Mohd Zulkarnain Zulkifli, 35, tetapi juga merupakan satu perasaan yang sukar diungkapkan.

“Alhamdulillah, kelahiran secara normal ini dipermudahkan olehNya dan semuanya selamat. Saya dikurniakan seorang bayi perempuan seberat 3.10 kilogram pada jam 5.50 pagi,” katanya yang merupakan seorang surirumah ketika ditemui di Wad 2 Topaz HUSM, di sini semalam.

Sementara itu, kegembiraan ini turut dikongsi oleh sepasang lagi suami isteri, Arif Ali, 25, dan Suraini Ibrahim, 26, apabila menerima kehadiran bayi sulung perempuan mereka seberat 3.25 kilogram pada jam 3.20 pagi.

Pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 29 Mei 2014 berasa sangat bertuah kerana anaknya dilahirkan pada Hari Kebangsaan memandangkan beliau dijangka bersalin pada 7 September depan.

“Saya berasa sangat teruja dan gembira tidak terkata apabila anak sulung kami dilahirkan pada tarikh keramat sambutan kemerdekaan negara dan perkara ini saya dan isteri tidak pernah jangkakan pun sebelum ini,” kata Arif lagi.

Teks/Foto: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1164

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024