USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKTIKAN OKU MAMPU CEMERLANG DI UNIVERSITI, KATA FATINI

 DSC3034dff

PULAU PINANG, 1 SEPTEMBER 2015 - "Saya amat mengharapkan lebih ramai Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan bahawa kita mampu menjejakkan kaki ke universiti seterusnya.menjadi.insan cemerlang yang dapat membantu universiti dan negara keseluruhannya"

Itu harapan Fatini Nadira Mohd Nain pelajar baharu OKU yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) sidang akademik 2015/2016, mengatakan bahawa Orang Kelainan Upaya (OKU) mampu berdiri seiring bersama pelajar normal yang lain dalam ilmu dan pengetahuan.

Fatini Nadira, 19, berkata berpeluang menyambungkan pengajian di peringkat tinggi ini merupakan satu penghargaan buat beliau apatah lagi dengan keadaannya tidak menghalang untuk mendaki ke puncak menara gading.

 DSC2954dffh

“Sejak kecil saya tidak pernah melihat kecacatan saya ini sebagai penghalang untuk smengecapi apa yang saya hajati apatah lagi dalam bidang pendidikan”

Bercita-cita ingin menjadi seorang Pakar Perisian, anak kelahiran Pulau Pinang ini berjanji akan memanfaatkan segala peluang yang diberikan oleh USM untuk berdaya maju ke hadapan.

“Saya amat bersyukur kerana pilihan permohonan pertama saya bagi kursus Sains Komputer telah diterima oleh USM, seterusnya menguatkan lagi semangat mencapai apa yang saya citakan” katanya ketika ditemubual selepas majlis Sidang Media khas kemasukan pelajar baharu sidang akademik 2015/2016 dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).

Tambah anak bongsu dari lima beradik ini, Fatini meletakkan ibu dan bapanya sebagai tunjang utama hingga berjaya memasuki universiti.

“USM merupakan pilihan hati saya sejak dari sekolah menengah lagi kerana dipengaruhi oleh abang dan kakak yang juga merupakan alumni USM,

 DSC3094ghg

“Akhirnya termakbul juga hasrat saya untuk menjejakkan kaki di sini sebagai pelajar USM” katanya dengan raut wajah yang gembira.

Fatini tidak menafikan jika diizin dan diberi peluang dia akan melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Tinggi seterusnya menabur bakti sebagai Pensyarah di dalam bidang yang diceburi.

Menurutnya lagi, Fatini akan turut ditemani oleh ibunya bagi memudahkan pergerakan di universiti sebelum dapat membiasakan diri dengan kehidupan di kampus.

Sebelum menamatkan sesi temubual, Fatini sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat USM di atas peluang yang diberikan dan berjanji tidak akan mempersia-siakan harapan yang diberikan. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1202

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024