USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI BERPERANAN PERKASAKAN PELAJAR

PULAU PINANG, 1 Sept. 2015 – Para alumni Universiti Sains Malaysia (USM) disaran untuk terus menyumbang kepada Universiti khususnya dalam memberi input dan buah fikiran bagi memperkasa bakat keusahawanan pelajar.

Naib Canselor, sumbangan bukan sekadar terhad kepada wang ringgit namun paling penting adalah perkongsian pengalaman yang dapat meningkatkan kemahiran modal insan yang terbilang dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, bidang keusahawanan adalah antara prospek yang perlu dibudayakan dalam kalangan mahasiswa kerana ia menjadi nadi kepada kelangsungan masa hadapan dan pengalaman alumni adalah antara yang boleh dikongsi secara bersama.

“Kita perlu mengukuhkan budaya untuk berkongsi kepakaran, kejayaan, pengalaman hidup yang dilalui, segala yang diperoleh sekian lama hasil dari ilmu yang diperolehi, malah berkongsi dalam menggerakkan masyarakat untuk membangunkan dunia masa hadapan yang lebih lestari.

“Inilah antara usaha pemerkasaan dengan libatsama alumni yang harus difikirkan secara berterusan. Bukan sekadar berfikir tetapi merancang dan melaksanakan usaha yang jitu dan bersepadu dengan niat ikhlas untuk kembali memberi dan berkongsi,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 200 alumni yang menyertai majlis perjumpaan Back To Campus@50’s di sini baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, alumni sekitar tahun 1985 hingga 1990 itu turut memberi sumbangan berjumlah RM10,000 kepada USM melalui Yayasan USM, hasil sumbangan ikhlas dalam kalangan peserta.

Omar juga berkata, di samping bernostalgia dan mengukuhkan ukhwah, ia lebih bermakna dan lebih dirasa apabila alumni dapat pula berkongsi dengan mereka yang masih memerlukan sumbangan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Back To Campus@50’s, Mohd. Ali Mohd. Salleh pula berkata, idea untuk mengadakan perjumpaan yang mendapat sambutan itu timbul pada tahun lalu.

Katanya, selain kembali untuk mengeratkan silaturrahim bersama rakan-rakan yang kini telah berusia sekitar 50 tahun, pihaknya turut merancang usaha untuk memberi sumbangan yang signifikan kepada Universiti

“Pencapaian akademik adalah syarat wajib untuk dikuasai pelajar namun penguasaan kemahiran lain khususnya keusahawanan adalah bonus untuk kelangsungan kecemerlangan hidup mereka di dunia luar yang lebih mencabar.

“Justeru, kami sentiasa bersedia menyumbang segala yang diperlukan termasuk pengalaman, kepakaran dan idea ke arah menambah baik pencapaian Universiti dan warganya,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1013

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024