USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MINDEN TIGERS SEDIA BERI TENTANGAN DALAM PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2015

MInden Tigers
 
PULAU PINANG, 1 September 2015 – Skuad ‘Minden Tigers’ Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia memberikan tentangan sengit dalam kejohanan Piala Menteri Pendidikan 2015 yang akan memulakan sepak mulanya pada 6 September nanti.
 
Ketua Jurulatih, Ahmad Norafandy Yatim atau lebih dikenali sebagai ‘Jibong’ dikalangan anak buahnya, yakin dengan prestasi semasa pemainnya, Minden Tigers mampu melayakkan diri sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
 
“Saya amat optimis kami mampu melepasi peringkat kumpulan. Walau bagaimanapun, kami tetap menghormati semua lawan yang bakal ditemui kelak,” katanya.
 
USM diundi di dalam Kumpulan D bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, UiTM Sarawak dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
 
Berdasarkan rekod pertemuan semasa, hanya UiTM Perlis dilihat akan menjadi ‘pengacau’ bagi menghalang USM melangkah ke suku akhir.
 
“USM telah dua kali bertemu dengan UiTM Perlis dalam Kejohanan IMT-GT 2015 edisi ke-17  yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini, dengan kedua-dua perlawanan itu berpihak kepada mereka, termasuk dalam perlawanan akhir.”
 
Tambahnya lagi, peluang bertemu awal dengan skuad bimbingan legenda bolasepak Perlis, Manja Man sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada skuadnya dalam merencanakan taktik terbaik memerangkap skuad “The Lions” itu.
 
Pengurus Minden Tigers, Nazru Ismail juga menuntut komitmen yang tinggi daripada para pemainnya sepertimana mereka memperagakan aksi cemerlang muncul Naib Juara Divisyen Dua Liga IPT 2015.
 
“Perlu diingat perjuangan mereka sebenar mereka hanya akan bermula di sini kerana karnival ini menghimpunkan seluruh pasukan terbaik yang bertanding di dalam Liga IPT 2015.”
 
“Teras disiplin yang kukuh, kesungguhan dan komitmen yang tinggi serta semangat memperjuangkan nama USM akan sentiasa disematkan di kotak pemikiran serta ditanam dalam jiwa, agar seni permainan yang mempesonakan akan dizahirkan di atas padang nanti, sekaligus memungkinkan kita melangkah jauh dalam pertandingan ini.”
 
Nazru juga mengharapkan pemainnya agar mempersembahkan gaya permainan ‘menggerunkan’ lawan yang seringkali dipamerkan sewaktu beraksi di laman utama.
 
“Karnival ini akan dilangsungkan di sekitar Lembah Klang dan tiada perlawanan timbal balik. Oleh itu, mental pemain harus sentiasa bersedia dan mencari kemenangan dalam semangat kesukanan yang tinggi.”
 
Perjuangan USM Minden Tigers akan bermula pada 6 September 2015 (Ahad) bertemu dengan UiTM Perlis, melawan UiTM Sarawak pada 9 September (Rabu) dan menutup saingan peringkat kumpulan bertemu UPM pada 11 September (Jumaat).
 
Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium UPM, jam 4.30 petang.
 
Teks/Foto: Mohamad Danial Shahri
  • Created on .
  • Hits: 1216

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024