USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBUBAPA JADI RAKAN DAN MODEL UNTUK ANAK-ANAK

KUBANG KERIAN, 31 Ogos – Ibubapa seharusnya menjadi rakan dan model kepada anak-anak untuk berjaya dalam hidup mereka.

Demikian pesanan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam sesi perjumpaan dengan ibubapa di sini hari ini.

"Ibubapa perlu terus membantu anak-anak untuk berjaya pada masa hadapan dengan memastikan mereka tidak mudah terlibat dalam hal-hal yang boleh mengganggu proses pembelajaran di universiti apatah lagi dengan begitu banyak ruang dan peluang untuk diterokai," kata Omar kepada hampir 1,000 orang ibubapa yang menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di sini.

Naib Canselor berkata, dalam proses pembangunan ilmu pada masa ini, penekanan adalah kepada usaha melaksanakan konsep meningkatkan pengupayaan mahasiswa dalam pembelajaran yang perlu diselarikan dengan peredaran zaman.

"Konsep belajar dalam bilik kuliah sudah tidak mencukupi untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya saing yang perlu mengambil kira keperluan menjadikan mahasiswa yang mempunyai daya kepimpinan yang dapat diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti berbentuk kemahasiswaan, akademik, kebudayaan dan kemasyarakatan," tambah Omar.

Jelasnya lagi, melalui penglibatan mahasiswa di dalam aktiviti-aktiviti ini, ciri-ciri kepimpinan akan dapat ditingkatkan kualitinya dan sekaligus mampu membawa mahasiswa mencapai status mahasiswa unggul.

Menurut Naib Canselor lagi, sebagai bakal pemimpin masa hadapan mereka perlu mempunyai tiga ciri iaitu ‘keilmuan dalam akademik, sahsiah diri serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan mengambil kesempatan yang diberikan sepanjang berada di Universiti untuk menimba pengalaman dengan sebanyak mungkin melalui pensyarah-pensyarah yang ada.

"Penglibatan pelajar dalam aktiviti sebegini amat penting dalam pembangunan sahsiah pelajar bagi melahirkan modal insan yang seimbang dalam pelbagai aspek. Sekiranya pelajar hanya menuntut ilmu dan tanpa membangunkan aspek lain maka kita tidak dapat melahirkan graduan yang seimbang," kata Omar.

Tegasnya, penglibatan dalam aktiviti 'soft-skills' ini menjadi nilai tambah yang boleh membantu mereka dalam dunia kerjaya setelah tamat pengajian apatah lagi bagi mereka yang cemerlang di dalam segala segi dan bidang yang mejadikannya unik dalam kalangan yang lain.

Naib Canselor turut menjelaskan pelbagai insentif yang ada pada hadapan untuk anak-anak muda ini meneruskan pengajian pada masa hadapan termasuk dalam menggalakkan mereka dalam kerja-kerja penyelidikan untuk mengkayakan dengan pengetahuan baharu yang memerlukan pelaburan tambahan.

Beliau turut menjawab pertanyaan-pertanyaan oleh ibubapa yang hadir.

Dalam sidang media yang diadakan kemudian, Omar turut menjelaskan tentang pengambilan beberapa kumpulan pelajar baharu melalui pengambilan khas termasuk mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kita telah menambahkan bilangan masuk mereka dari kumpulan ini yang paling tinggi sejak tiga tahun lalu dengan pelbagai insentif khas agar membantu mereka keluar dari pelbagai bebanan kewangan pada masa hadapan," kata Naib Canselor.

Seramai 334 orang pelajar dalam kategori pengambilan khas untuk mereka dianggap kumpulan “the bottom billion” ini diambil masuk mengikuti kriteria khas sosio-ekonomi termasuk untuk mengikuti pengajian di Kampus Kesihatan USM.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Sukari Halim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Dr. Adam Hussin.

Keseluruhannya, seramai 4,378 orang calon lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Diploma/Setaraf mendaftar di ketiga-tiga Kampus USM hari ini bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) pada Sidang Akademik 2015/2016.

Jumlah ini termasuk 100 orang pelajar yang akan mengikuti pengajian Doktor Perubatan di Kampus KLE Belgaum India dan 115 orang pelajar Diploma Kejururawatan di Kampus Kesihatan USM Kelantan.

Dari jumlah keseluruhan tersebut, 2,968 orang mendaftar diri  untuk mengikuti program pengajian di Kampus Induk Pulau Pinang, 673 orang mengikuti pengajian di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal Pulau Pinang dan 737 orang mengikuti pengajian di Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan.

Teks: Mohd Iqmal Mathlan & Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1242

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024