USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHASAMA UNIK: USM JULUNG KALI TAWAR PROGRAM PERSISIR SENIBINA

 DSC3029fg

PULAU PINANG, 31 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menawarkan Program Persisir Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) dengan pengambilan pertama seramai 54 calon lepasan Diploma dari Politeknik seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata, program itu diperkenalkan melalui kerjasama akademik dengan Politeknik Port Dickson dan mendapat sokongan penuh dari Kementerian Pendidikan Tinggi  (KPT).

 DSC2941dfgh

Katanya, 54 calon pertama telah dipilih dari kelompok pelajar-pelajar cemerlang di peringkat Diploma Senibina yang akan mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga tahun.

“Program ini akan dikawal selia dan dipantau oleh USM termasuk dalam aspek silibus akademik, peperiksaan, pemarkahan dan sebagainya,’’ katanya ketika ditemubual dalam sidang media sempena pendaftaran pelajar baharu USM sidang akademik 2015/2016 di sini hari ini.

Selain itu beliau juga berkata, USM turut menerima kemasukan 4,378 calon dari lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/Diploma/Setaraf yang mendaftar di ketiga-tiga kampus USM bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa.

Daripada jumlah itu, USM turut menawarkan lebih 40 tempat kepada pelajar dari luar negara termasuk dari Morocco, Hong Kong, China, Indonesia, Nigeria, Yemen, India dan sebagainya. Pelajar dari Hong Kong, Cheng Tsz Hong berkata, dia sangat berminat untuk menyambung pengajian di USM disebabkan reputasi institusi pengajian kedua tertua Malaysia itu yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, suasana aman dan rakyat berbilang kaumnya yang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian menyebabkan dia sanggup bersusah-payah ke Malaysia untuk menuntut ilmu.

 DSC2969fgh

“Saya mengambil jurusan Bahasa Inggeris untuk Profesional dan tidak silap memilih Malaysia dan USM secara spesifik kerana di sini saya dapat meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dalam pertuturan, penulisan dan sebagainya.

“Majoriti yang saya temui di Malaysia fasih berbahasa Inggeris dan ia memberi kelebihan untuk saya memahirkan diri,’’ katanya.

Selain Cheng Tsz Hong, Salim el-Yabouri dari Morocco pula berpendapat, USM adalah satu destinasi melanjutkan pengajian yang tepat dan mempunyai rekod kecemerlangannya tersendiri khususnya dalam pembangunan akademik.

"Saya mendapat maklumbalas cukup memberangsangkan dari kawan-kawan dan ahli keluarga yang telah melanjutkan pengajian di sini dan terus teruja untuk mengambil langkah yang sama.

“Setelah sampai di sini, ia nyata satu pilihan yang tepat dan saya kagum dengan suasana dan persekitaran kampus ini yang mempunyai landskap hijau yang mendamaikan,’’ katanya yang akan mengikuti kursus Pengurusan.

Turut hadir ke sidang media tersebut ialah dua lagi pelajar luar negara, Liang Yage dari China yang mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan serta rakan senegara, Xu Yuxiang yang memilih jurusan Biologi (PP Sains Kajihayat). 

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1463

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024