USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELAINAN STRUKTUR BADAN BAYI BOLEH DIRAWAT, KATA PAKAR

Kubang Kerian, 29 Ogos 2015 – Anggota badan manusia mempunyai risiko ketidaksempurnaan sewaktu dilahirkan. Masyarakat biasanya mengambil mudah tentang kelainan struktur badan yang dialami dan menganggapnya biasa terjadi serta tidak mengambil tindakan susulan untuk mengatasinya.

Menurut Pensyarah Kanan, Unit Sains Rekonstruktif Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Madya Dr Wan Azaman Wan Sulaiman, masyarakat perlu mengubah persepsi ini dan tidak menganggap kelahiran bayi yang mempunyai kelainan anggota merupakan perkara biasa.

"Ini penting bagi ibubapa mengambil langkah awal untuk mendapatkan rawatan dan tidak membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja," katanya ketika ditemubual dalam satu rancangan bersama radio tempatan di sini.

Tambah Dr Wan Azman, ibubapa perlu sedar kebanyakan hospital dan klinik boleh membantu dalam proses awal perawatan dalam mengesan kelainan struktur badan bagi kanak-kanak.

"Ia bermula daripada ibubapa sendiri, sekiranya mereka mengesan sebarang kelainan pada anggota badan anak-anak, sebaiknya terus merujuk ke pusat kesihatan berhampiran untuk mengenalpasti ketidakabnormal tersebut," ujarnya.

Wan Azman berkata kes yang paling biasa dikendalikan di Hospital Universiti Sains Malaysia adalah kes sumbing bibir yang mana kes ini senang dikenalpasti kerana ia jelas kelihatan manakala kes kedua paling banyak pula merupakan kelainan pada kemaluan terutama bagi lelaki yang biasanya tidak disedari oleh ibubapa.

"Bayi yang baru lahir mengalami saluran kencing yang terbuka di mana-mana bahagian kemaluan seperti di pangkal atau di tengah, dan kejadian ini hanya disedari apabila kanak-kanak tersebut meningkat remaja, sekiranya tidak dirawat boleh menjejaskan emosi dan pembelajaran mereka," ujarnya lagi.

Selain itu, pandangan negatif masyarakat menganggap perkara yang dilakukan oleh ibubapa menjadi penyebab kepada lahirnya bayi yang mempunyai kelainan struktur badan juga menimbulkan masalah. Ini adalah salah dari sudut perubatan dan sekiranya berlanjutan boleh menyebabkan ibubapa ini mendapat tekanan emosi.

Wan Azman menasihati ibubapa yang memiliki anak sebegini agar tidak berasa segan dan rendah diri, sebaliknya cuba mendapatkan rawatan awal yang mungkin supaya dapat mengembalikan fungsi asal walaupun tidak 100 peratus sempurna namun mencapai fungsi orang yang normal.

Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1252

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024