SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN: SEHATI SEJIWA PELIHARA KEDAULATAN NEGARA
Pulau Pinang, 28 Ogos 2015 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk sentiasa bersikap tanggungjawab dan mempertahankan kedaulatan negara.
Bercakap kepada BULETIN USM sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyeru agar semua warga kampus memastikan terus bersatu, sehati sejiwa dalam membangunkan universiti tercinta dengan bersama-sama menjalankan tugas dan fungsi sebagai sebuah institusi menara ilmu yang disayangi.
“Saya menyeru kepada seluruh komuniti universiti dan warga USM untuk terus bersatu padu dan memahami erti dan konsep kemerdekaan yang sebenar dan memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar laungan tetapi satu perjuangan yang memastikan kedaulatan negara terus dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia yang bertanggungjawab apatah lagi dalam kalangan seluruh warga USM yang seharusnya memikul tanggungjawab tersebut dengan sentiasa melakukan aktiviti yang bermanfaat dan meninggalkan apa jua aktiviti yang boleh menjatuhkan nama baik negara dan nama baik institusi serta memudaratkan orang lain,” kata Omar.
Beliau mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya warga USM dalam kalangan pelajar mahupun kakitangannya serta juga para alumninya.
“Saya yakin seluruh warga USM termasuk para pelajar akan sentiasa memastikan perjuangan diteruskan untuk memastikan negara terus maju, berdaulat, bebas merdeka,” kata Omar.
Teks: Mohamad bin Abdullah
#MPRC
- Created on .
- Hits: 1404