NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT DATANG KEPADA PELAJAR BAHARU DAN INGATKAN HASRAT USM INGIN LAHIRKAN SISWAZAH HOLISTIK GLOBAL
Pulau Pinang, 28 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat lahirkan siswazah yang bersifat holistik dan berpegang kepada nilai-nilai global untuk masa hadapan.
Bercakap dalam Buletin USM untuk mengalu-alukan mahasiswa baharu yang akan mendaftar masuk ke USM pada Isnin, 31 Ogos 2015 ini, Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman meminta agar pelajar-pelajar baharu akan menjiwai nilai-nilai APEX USM dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kampus dari aktiviti berpersatuan mahupun aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan untuk menjadi siswazah yang berjiwa global dengan nilai-nilai yang dikongsi bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya bagi pihak pengurusan tertinggi USM mengalu-alukan semua mahasiswa baharu USM di semua kampus dan selamat datang ke universiti APEX dan jadilah seorang warga yang bertanggungjawab untuk menuntut ilmu dan menjadikan menara ilmu kita ini sebuah institusi yang dihormati dan berprestij,” kata Omar.
Naib Canselor berharap agar mahasiswa baharu akan menguasai segala kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan melalui tumpuan kepada pelbagai peluang yang ada di dalam mahupun di luar kampus universiti untuk menjadi seorang siswazah yang holistik global yang diterima di mana sahaja.
“Jadilah seorang yang berbudi pekerti dan menjaga nama baik universiti, keluarga dan negara serta hidup dalam konsep permuafakatan di dalam desasiswa atau di mana sahaja berada dengan menjadi pelajar yang aktif di dewan kuliah, makmal dan kerja lapangan atau di mana sahaja sepanjang mengikuti pengajian,” kata Naib Canselor.
Beliau turut menyeru agar mahasiswa menggunakan segala peluang yang ada untuk memahirkan diri melalui aktiviti berpersatuan dan mengambil bahagian dalam pelbagai program yang ada di universiti, berinovasi serta membangunkan kemahiran keusahawanan untuk membina kekuatan semangat dan sahsiah diri sebagai seorang yang berilmu, berjiwa murni dan prihatin kepada masyarakat kelak.
Naib Canselor juga menasihatkan para mahasiswa agar tidak terlibat dalam aktiviti yang memudarat dan menyusahkan diri mahupun keluarga dan negara serta menjadi seorang yang sentiasa berbudi pekerti tinggi dengan menghormati para guru dan mereka yang lebih dewasa.
“Selamat menjadi warga APEX USM dan saya doakan agar saudara-saudari dapat mengguna dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk menjadi siswazah yang boleh membanggakan keluarga, universiti dan negara,” kata Omar.
Teks: Mohamad bin Abdullah
#MPRC
- Created on .
- Hits: 1479