PPSK USM TERIMA KUNJUNGAN PELAJAR PSU
PULAU PINANG, 27 Ogos 2015 – 32 orang pelajar dan dua orang pensyarah dari Prince of Songkla University (PSU) Hat Yai, Thailand pengkhususan Bioteknologi (Molecular Biotechnology and Bioinformatics) mengadakan kunjungan ke Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) selama dua hari baru-baru ini lanjutan daripada kolaborasi yang ada sebelum ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Profesor Dr. K. Sudesh Kumar A/L C. Kanapathi Pillai berkata, lawatan ini merupakan kali yang ketiga sejak tahun 2013 ini mampu memenuhi hasrat kedua-dua belah pihak untuk meneroka peluang percambahan idea, menstimulasi perbincangan interdisiplin dan membina jaringan hubungan di antara USM dan PSU.
Kata Sudesh lagi, PPSK USM sentiasa bersedia memberikan komitmen tinggi khususnya dalam kolaborasi sebegini yang melibatkan perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak terutamanya dalam kalangan pelajar.
“Dalam usaha kita untuk meningkatkan pencapaian ilmu merentasi sempadan, kita perlu mengintegrasikan dan mewujudkan persekitaran yang bersistematik merentasi pelbagai disiplin ilmu dan institusi malah USM komited dalam menghubungkan penyelidikan yang menggabungkan kepentingan holistik dengan tenaga pakar yang ada terutamanya dalam bidang bioteknologi,” katanya lagi.
Wakil PSU yang juga Pensyarah Bioteknologi (Molecular Biotechnology and Bioinformatics) PSU, Dr. Alisa Nakkaew berkata, lawatan singkat tersebut memberi impak yang cukup besar kepada para pelajar dengan makmal USM yang mempunyai prasarana lengkap.
“Kami amat menghargai lawatan ini kerana meskipun dalam tempoh yang singkat namun bermanfaat untuk menjana idea dalam kalangan para pelajar ini dalam menghadapi projek akhir mereka pada semester hadapan,” kata Alisa.
Pensyarah Bioteknologi (Molecular Biotechnology and Bioinformtics) PSU Dr. Monwadee Wonglapsuwan pula berkata, lawatan ini sebenarnya memberi peluang untuk PSU menerokai peluang-peluang terbaik khususnya bagi para pelajar apatah lagi dengan prasarana lengkap dan teknologi yang dimiliki oleh PPSK, lawatan ini sebenarnya memberikan satu input baharu untuk mereka mempelajari dari perspektif yang lain sekaligus membuka minda kami para pensyarah dalam perkongsian idea secara terus dengan pakar di sini,” katanya lagi.
Pelajar Ijazah Pertama tahun tiga pengkhususan Bioteknologi PSU Ittiphol Patavanich, 20, berkata, dia dan rakan-rakan yang lain begitu teruja dengan lawatan ini yang disifatkannya mampu memberi kesan positif serta gembira berada di Malaysia dengan persekitaran yang sememangnya mengagumkan walaupun hanya dua hari berada di sini dan berharap untuk datang lagi.
Rakannya Singhanet Phanaphitakkul, 20, turut mengakui PPSK USM merupakan pusat pengajian yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran kerana fasiliti yang lengkap dan melahirkan rasa bangga dapat datang ke USM yang disifatkan sebagai universiti berstatus APEX yang dikenali di peringkat dunia.
Bagi Natchapon Srinak, 21, berkata, USM adalah universiti yang lestari dari segi fizikalnya dengan kehijauan kampus yang mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang berada di dalamnya.
“Saya suka melihat suasana kampus yang bersih dan mengagumkan tambahan pula pepohon hijau yang mampu menenangkan jiwa,” kata anak muda itu lagi kepada TVUSM.
Kehadiran 32 orang pelajar ijazah pertama tahun tiga pengkhususan Bioteknologi dari Prince Of Songkhla University (PSU) ini berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos 2015 baru-baru ini ke Universiti Sains Malaysia (USM) dengan dua orang pensyarah.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1635