USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-TSU PERKASA BIOSAINS

PULAU PINANG, 27 Ogos 2015 – Pembangunan dalam bidang Biosains merentasi bidang Biopolimer dan Bioteknologi menjadi fokus utama kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Tomsk State University (TSU) hasil Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mac 2015 lalu.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. K. Sudesh Kumar A/L C. Kanapathi Pillai berkata, usaha dan komitmen Timbalan Naib Canselor (Bahagian Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan yang merintis kolaborasi ini disifatkannya amat unik dan bersesuaian kerana USM dan TSU mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama iaitu untuk memacu kecemerlangan dalam bidang biosains iaitu biopolimer dan bioteknologi.

Jelasnya lagi, kemajuan dalam bidang biosains terutamanya dalam produk-produk mesra alam terutamanya dalam perubatan diyakini akan memberi manfaat kepada pembangunan bidang ilmu demi kesejahteraan masyarakat global.

“Biomaterial dalam bidang perubatan membolehkan saintis mencari alternatif melalui penemuan baharu yang menambah baik kualiti bidang perubatan dan kesihatan termasuk penggunaan bahan berasaskan biomaterial dalam pembedahan,” kata Dr. K. Sudesh Kumar.

Tambahnya lagi, dengan kedudukan kedua-dua universiti tersebut yang dianggap antara yang terbaik dan TSU sebagai universiti tertua di Rusia, usaha tersebut diyakini mampu membangunkan teknologi ini dengan lebih mapan.

Pensyarah TSU Dr. Anna Nemoykina yang juga Ketua Makmal (Unit Penyelidikan Biopolimer dan Bioteknologi) TSU berkata, USM mempunyai pakar-pakar penyelidik dalam bidang berkenaan yang boleh dimanfaatkan melalui usaha sama ini dalam merealisasikan usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pihak melalui kolaborasi ini.

“Makmal Biopolimer dan Bioteknologi TSU dibuka pada tahun 2014 dengan penyelidikannya lebih tertumpu kepada produk-produk kelestarian dan mesra alam terutamanya bahan polimer sintetik untuk pelajar-pelajar bioperubatan,” katanya lagi.

Jelas Anna Nemoykina lagi, dalam usaha membangunkan penyelidikan berkenaan, USM dan TSU mendapat bantuan daripada mereka yang pakar dan berpengalaman luas dalam bidang tersebut untuk mempercepatkan proses berkenaan apatah lagi melalui beratus kertas penyelidikan yang diteliti, pihaknya memilih Profesor Dr. P K. Sudesh Kumar untuk mengetuai penyelidikan berdasarkan kualiti penyelidikan dan komitmen tinggi yang menepati piawaian yang diingini.

Kata Anna lagi, sehingga kini projek tersebut berjalan lancar malahan kolaborasi bersama USM merupakan antara yang terbaik dengan komitmen tinggi terhadap kolaborasi ini.

Pihaknya berharap kolaborasi dengan USM mampu menjadi yang terbaik dengan kebersamaan yang ada di antara USM dengan TSU dalam pelbagai aspek.

TSU ditubuhkan pada tahun 1878 dan sehingga kini telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan terkini TSU memulakan inisiatif universiti penyelidikan bagi menempatkan institusi tersebut dalam senarai universiti terbaik dunia.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1476

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024