35 STAF GOTONG-ROYONG SIAPKAN JALUR GEMILANG SEMARAK KEMERDEKAAN
PULAU PINANG, 27 Ogos 2015 - Semangat kemerdekaan terus disemarakkan lagi di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan aktiviti gotong-royong membuat Bendera Malaysia oleh staf Jabatan Bendahari.
Pemangku Bendahari USM, Dr. Rohayati Mohd Isa berkata, inisiatif ini ialah untuk memupuk semangat perpaduan dan menyemarakkan rasa kecintaan terhadap negara Malaysia dalam kalangan staf Jabatan Bendahari.
"Mereka bekerjasama, berganding bahu serta komited dalam menyiapkan bendera ini untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan staf Jabatan Bendahari menjelang Hari Kebangsaan ke-58 negara tahun ini", katanya.
Pembantu Akauntan selaku Ketua Projek ini, Shuhaida Hamid berkata, tujuan membuat bendera besar secara gotong-royong ini adalah untuk merapatkan hubungan antara staf Jabatan Bendahari selaras dengan tema hari kebangsaan iaitu sehati sejiwa.
"Selain itu, inisiatif sebegini dapat menjimatkan kos berbanding dengan membeli bendera yang dijual di pasaran dan bendera yang dibuat ini akan digantung di Jabatan Bendahari USM", ujarnya lagi.
Seramai 35 orang staf Jabatan Bendahari USM terlibat dalam projek ini yang mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan. Bendera bersaiz 6.5 meter ini dibuat pada waktu rehat dan juga selepas waktu pejabat tamat.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ehsan Jabatan Bendahari USM
- Created on .
- Hits: 1359