USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA MENGINSANKAN KECEMERLANGAN

 DSC2257

PULAU PINANG, 26 Ogos 2015 - Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) berusaha menzahirkan bakat cemerlang bersifat insani dalam memastikan kelangsungan masa hadapan yang lebih lestari.

Dekannya Profesor Dr. Fauziah Md. Taib berkata, usaha ini adalah tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul demi meneruskan kecemerlangan seseorang insan melalui proses pengajaran dan pembelajaran dan pembangunan modal insan yang turut menekankan kepada aspek kerohanian secara lestari (istiqamah).

 DSC2240

 DSC2263

Berucap dalam program akademik bersama penceramah terkenal, Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias di Majlis Sambutan Jubli Perak PPP USM, pagi ini, Fauziah berkata, kemodenan dan kepesatan pembangunan dengan nikmat yang melimpah ruah di negara ini menjadikan sesetengah orang hilang kewarasan dalam tindakan terutamanya dalam berhadapan dengan pelbagai krisis dan cabaran yang ada.

“Setelah 25 tahun ditubuhkan, Pusat Pengajian Pengurusan berbangga kerana tersenarai sebagai antara yang terbaik di dunia dalam penawaran kursus-kursus seperti perakaunan dan pengurusan perniagaan yang berada di antara 100 hingga 150 terbaik di dunia,” kata Fauziah.

Fauziah yang meneruskan legasi kepimpinan dekan-dekan terdahulu dalam memacu kecemerlangan Pusat Pengajian Pengurusan berharap dan berusaha untuk memastikan kecemerlangan prestasi yang dilakukan turut diperkukuhkan dengan pembangunan qalbu sebagai asas untuk mencapai kejayaan yang berkekalan.

 DSC2277

“Pemasaran sosial dengan memberi pendekatan bersama masyarakat amat dititikberatkan untuk melahirkan produk dan perkhidmatan yang berkesan dan cekap dalam memberikan implikasi yang kukuh untuk proses pembangunan modal insan,” tegas Fauziah.

Beliau menyeru warga kampus untuk bersama-sama menggembleng tenaga menguasai khazanah ilmu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat merangkumi dunia dan akhirat.

“Saya yakin dan percaya bahawa kecemerlangan individu dapat dikembangkan ke peringkat tertinggi dalam melestarikan kecemerlangan sesebuah organisasi agar sentiasa kukuh dan berkekalan dan disokong oleh insan yang mulia di semua peringkat,” katanya di hadapan kira-kira 1,500 orang yang menghadiri ceramah tersebut.

 DSC2281

Sementara itu, Mohammad Kazim Elias berkata, demi membentuk satu lanskap kecemerlangan yang lestari, kesedaran tentang penzahiran kecemerlangan qalbu para pelajar, cendekiawan dan usahawan di negara dengan penekanan kepada pemasaran sosial, kebijaksanaan yang berdaya saing dan kepimpinan berlandaskan konsep Islamiah perlu diberi tumpuan sewajarnya.

“Pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk menangani cabaran pada masa hadapan demi mempertingkatkan kesejahteraan dan keharmonian hidup dengan menumpukan kepada pembangunan insan yang mempunyai ilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai kemahiran memimpin, kemahiran berbahasa, mempunyai etika dan kerohanian serta mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya lagi.

  DSC2290

 DSC2310sd

Jelas Mohammad Kazim, konsep insan berbeza dengan manusia kerana manusia sanggup membuat apa sahaja untuk bersaing dan kadang kala mengenepikan sifat kejujuran, ikhlas dan amanah demi memenuhi kepentingan peribadi mereka, namun insan adalah sebaliknya.

Beliau menasihatkan warga kampus agar berusaha mengenali potensi diri dalam usaha pemerkasaan bakat yang ada dalam menghadapi cabaran dan kesediaan untuk menerima pelbagai hakikat sebenar kehidupan ini.

 DSC2170bhk

Pada majlis tersebut Mohammad Kazim dianugerahkan Tokoh Keusahawanan Sosial bagi menghargai jasanya dalam melestarikan keilmuan insani di samping semangat yang diusahakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan sosial.

Teks: Syuhada Abd.Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1413

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024