USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERLU PERKUKUHKAN PENYELIDIKAN DASAR - GOH BAN LEE

 DSC1973fgng

PULAU PINANG, 26 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) perlu menggembleng segala kekuatannya untuk mengukuh dan memperkasakan lagi fungsi dan matlamat asasnya dalam penyelidikan dasar.

Penyelidik terawal Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) yang juga alumni USM yang juga pernah bertugas sebagai pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dato’ Dr. Goh Ban Lee berkata demikian ketika ditemui dalam Bengkel Perancangan Strategik CenPRIS yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Goh Ban Lee, 70, yang bersama-sama USM ketika Pusat Penyelidikan Dasar ditubuhkan pada tahun 1974 serta aktif melakukan penyelidikan  pada tahun 70-an dan awal 80-an dengan menumpukan kepada kajian-kajian yang  berorientasikan pembentukan pangkalan data secara manual dan menuntut komitmen tinggi daripada para penyelidik.

“Antara cabaran utama yang terpaksa digalas ialah pengumpulan data secara manual di lapangan dan kemudian mengubah data itu kepada bentuk digital yang dapat disimpan dan dicapai kembali yang dilaksanakan dengan bantuan sekumpulan pensyarah dan staf-staf teknikal yang begitu komited serta banyak berkorban.

Katanya lagi, kejayaan pusat ini didokong oleh sekumpulan penyelidik yang telah melatih kakitangan dalam kumpulan sokongan yang cekap dan mahir untuk menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan secara besar-besaran.

“Mereka yang terdahulu berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk penyelidikan dasar menggunakan kaedah dan teknik yang digunakan pada mula-mula dahulu mendahului zamannya dan mempengaruhi kaedah kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak pada masa itu.

Tambahnya lagi Pusat Penyelidikan Dasar mula mendapat reputasi yang membanggakan walau pun sekitar lewat 80-an menghadapi beberapa cabaran luaran dan dalaman yang telah mempengaruhi kedudukannya dalam bidang penyelidikan dasar namun dengan kepakaran yang ada, cabaran tersebut telah berjaya diatasi.

“Walau macam mana pun, saya amat bersyukur dan gembira kerana dapat memberi sumbangan kepakaran dalam kerja-kerja penyelidikan yang tertumpu  kepada projek pentadbiran tanah dan penghakmilikan tanah, membina rangkaian kerjasama dan mengumpul kepakaran dalam kajian penyelidikan dasar,” tambahnya lagi.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dan Sarjana dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM sebelum menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Perancangan Bandar di University of California, Los Angeles.

Dr. Goh pernah berkhidmat di beberapa buah agensi kerajaan termasuklah Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN), Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), dan pelbagai jabatan kerajaan khususnya dalam kepakaran beliau iaitu perancangan, perumahan dan pentadbiran bandar.

Yang hadir sama dalam bengkel ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Penyelidikan, Khazanah Research Institute, Dr. Muhammed Abdul Khalid; Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Profesor Ahmad Fauzi Abdul Hamid; Pensyarah CenPRIS USM, Profesor Emeritus Omar Farouk Sheikh Ahmad; dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Suresh Narayanan.

Kini CenPRIS mempunyai pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Malaysia, Indonesia, Iran, Filipina, Thailand, China dan Korea serta beberapa orang calon Sarjana.

Teks: Tan Ewe Hoe & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.

  • Created on .
  • Hits: 1958

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024