USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PANDANG SERIUS ISU INTEGRITI

 DSC2037

PULAU PINANG, 25 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) memandang serius hal-hal yang berkaitan integriti para pegawai tidak kira pangkat mahupun jabatan selain meminta warga staf berhati-hati terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan kewangan kerana boleh menimbulkan fitnah.

Penasihat Undang-Undang Universiti, Khairul Anuar Che Azmi yang juga Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Program Integriti anjuran Unit Integriti, Pejabat Perundangan USM, di sini, hari ini.

Jelasnya, integriti seseorang individu boleh tercabar sekiranya nilai bertambah namun Pejabat Perundangan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan dengan menyemak setiap pertuduhan yang dilaporkan sewajar yang mungkin untuk mengelakkan daripada ada yang teraniaya apatah lagi sebarang tindakan boleh menimbulkan fitnah.

 DSC2046ujb

“Dalam hal tuntutan perjalanan dan tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan kewangan misalnya warga staf perlu berhati-hati kerana ada kalanya akan menimbulkan fitnah, sesetengahnya boleh dikenakan surcaj dan ada juga yang membawa kepada tindakan tatatertib,” kata Khairul Anuar lagi.

Warga staf dinasihatkan agar bertindak dengan penuh berhati-hati terhadap semua hal yang berkaitan dengan kewangan dan meneliti setiap peraturan yang ada supaya tidak berlaku salah faham dan seterusnya membabitkan isu-isu integriti.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang di Dewan Budaya hari ini, Khairul Anuar turut mengingatkan warga staf supaya melaporkan sebarang kecurigaan berhubung masalah ketirisan dalam pejabat khususnya hal-hal integriti dengan merujuk kepada Pejabat Perundangan dalam hal-hal yang tidak jelas berkaitan dengan peraturan dan perundangan.

"Sehingga kini, isu integriti di keempat-empat buah kampus USM (Induk, Kesihatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Kejuruteraan) masih dalam kadar yang boleh dikawal malahan Pejabat Perundangan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan untuk tidak menganiaya mana-mana individu," kata Khairul Anuar.

Penceramah bebas yang juga pengamal undang-undang, Mohd. Firdaus Ramlan ketika mengupas tajuk “Tumbuk Rusuk, Telunjuk Lurus Kelingking Berkait” menegaskan pembanterasan rasuah di Malaysia perlu melibatkan tenaga profesional pelbagai disiplin dan kepakaran, yang beroperasi secara bersepadu, dan menggunakan strategi undang-undang yang komprehensif, terancang, proaktif, tegas, berterusan dan berkesan dalam mendepani isu-isu integriti.

 DSC2039jhb

“Skop dan dimensi rasuah di Malaysia memang membawa impak kepada kesejahteraan rakyat, keselamatan ekonomi, keselamatan nasional dan kelangsungan negara," katanya lagi.Tambahnya, rasuah perlu dibanteras menerusi strategi perundangan komprehensif, tegas, drastik dan berkesan kerana rasuah walaupun dalam jumlah yang kecil mampu membawa mudarat dan menjatuhkan maruah individu.

Mohd. Firdaus turut menekankan tentang kepentingan integriti dalam perkhidmatan termasuk mengingatkan tentang isu-isu yang berkaitan pegangan agama yang berteraskan halal dan tidak halal.

Unit Integriti USM ditubuhkan pada 15 Januari 2014 berasaskan  Pekeliling Perkhidmatan Bil.6, Tahun 2013, bagi semua sektor awam termasuk universiti, untuk menubuhkan Unit Integriti selaras dengan usaha kerajaan Malaysia bagi pelaksanaan kesedaran nilai integriti dalam kalangan penjawat awam Malaysia.

Unit Integriti USM bertanggungjawab membangun, menyebar dan mengukuhkan semua program dan prosedur yang berkaitan dengan keupayaan institusi, etika, tadbir urus dan pelaksanaan integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan dan pelajar universiti.

Unit Integriti juga berperanan untuk menyelaras program dan aktiviti integriti di USM dengan bekerjasama rapat dengan Sekretariat Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sekretariat Integriti Rakan Mahasiswa USM serta pelajar-pelajar universiti dalam kampus.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim.

  • Created on .
  • Hits: 1880

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024