USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA KEPIMPINAN GLOBAL PELAJAR PASCA SISWAZAH

 DSC2015h

PULAU PINANG, 24 Ogos 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam memperkasakan kepimpinan pelajar pasca siswazahnya melalui Asia Pacific Alliance of Postgraduate Student Association for Leadership and Community Work kali kedua yang mengumpulkan penyertaan pelajar dari negara rantau Asia Pasifik.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, program sebegini sangat baik diadakan kerana melibatkan sesi perkongsian idea dan jaringan antara pelajar dari negara Asia Pasifik di bawah satu platform untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan masa hadapan negara dari aspek kepimpinan dan juga projek komuniti.

 DSC2007hv

"Peranan dan sumbangan golongan muda dari negara terlibat amat penting dalam setiap sesi sepanjang program ini berlangsung untuk memperkasakan kemajuan dalam bidang akademik, penyelidikan dan lain-lain untuk mereka berinteraksi bagi memperoleh hasil yang ingin dicapai", katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program ini.

Tambah Ahmad Shukri, pemimpin pada masa hadapan dibentuk dari golongan muda hari ini dan dalam arus kepesatan komunikasi teknologi zaman sekarang, mereka akan mencorakkan perjalanan negara masing-masing pada suatu masa nanti.

Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali pula berkata, keunikan program ini adalah melalui kesinambungan penganjurannya yang dilaksanakan oleh pelajar-pelajar antarabangsa yang menggabungkan elemen-elemen tersendiri negara masing-masing yang mewarnakan lagi program kali ini.

 DSC2013vg

"Program ini adalah batu loncatan untuk mewujudkan peluang terbaik dari segi kepimpinan, keusahawanan dan platform jaringan untuk pelajar rantau Asia Pasifik serta berperanan mewujudkan kepimpinan komuniti yang kuat untuk pemimpin muda berhubung dengan pelajar negara rantau Asia Pasifik yang diharapkan menjadi komponen kelestarian dalam mempromosikan kesetiakawanan dan komitmen untuk mencapai hasrat tersebut", tegasnya.

Tambah Anees, program yang melibatkan lebih 60 peserta dari Negara Asia Pasifik yang bertemakan 'Global Future Emerging Leadership' ini bermatlamat memperluas rangkaian strategik dalam kalangan pelajar-pelajar pasca siswazah ke peringkat antarabangsa di samping memperkasa bakat kepimpinan serta memberi pengalaman dalam penganjuran program di peringkat rentas negara.

 DSC2029hvh

Program ini berlangsung dari 24 hingga 28 Ogos 2015 di USM dan juga Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui pengisian seperti ceramah, forum, lawatan, team-building dan lain-lain lagi.Yang turut hadir ke majlis perasmian ini ialah Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Othman Sulaiman, Konsul Jeneral Kehormat Negara Pakistan Y.Bhg Dato' Hj. Abdul Rafique Abdul Karim, Konsul Jeneral Indonesia Y.Bhg Ronald Josef Pariaman Malik, Timbalan Konsul Jeneral Jepun Y.Bhg Hiroko Taniguchi dan Panel Penasihat Kehormat CityU Postgraduate Association (CUPA) HKSAR.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Zamani Abd. Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024