USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENGUKUHKAN KESUKARELAWANAN MELALUI PASUKAN PAKAIAN SERAGAM DI UNIVERSITI

 DSC1848jh

PULAU PINANG, 24 Ogos 2015 - Kesukarelawanan memberi fokus kepada nilai-nilai dan prinsip perkongsian, kerjasama dan tolong-menolong dalam melaksanakan sesuatu kegiatan atau menangani sesuatu permasalahan atas kepentingan yang lebih luas dalam konteks komuniti atau masyarakat.

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, seseorang sukarelawan perlulah mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap sesuatu perjuangan atau sesuatu yang bermakna dan luhur, mempunyai rasa kasih sayang terhadap masyarakat, organisasi dan mereka yang berada di sekelilingnya serta kesanggupan untuk berkongsi sumber untuk sesuatu yang mereka perlukan.

 DSC1876fgjgf

“Orang melibatkan diri dalam kerja sukarela kerana beberapa faktor yang penting diketahui untuk memahami potensi kesukarelawanan dalam masyarakat serta lebih bersedia untuk merangsang usaha sukarela,” kata Omar.

Jelasnya lagi, kebanyakan orang melibatkan diri dalam kerja sukarela ialah untuk mendapat suatu kepuasan terhadap usaha yang dibuat bertolak dari keinginan untuk melakukan sesuatu kebaikan kepada orang lain.

Berkongsi pengalamannya melalui forum sempena Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kor Siswa-siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan kali ke-6 di sini, Omar berkata, seorang sukarelawan Kor SISPA misalnya mempunyai kesanggupan untuk berkorban dan mengenepikan kepentingan diri untuk kepentingan masyarakat awam dan akan melapor diri untuk meneruskan usaha tersebut pada masa hadapan secara berterusan.

 DSC1887jb

 DSC1890vbvnmv

Naib Canselor USM itu juga turut menasihati para pelajar agar memanfaatkan teknologi yang ada terutamanya ICT untuk tujuan pembelajaran dan hal-hal yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta bersikap bijaksana dalam menilai maklumat yang diterima untuk memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

 DSC1864jb

 DSC1868bvh

Komanden Akedemi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) Kolonel (PA) Abdul Wahab Hj. Roslan pula berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk memberi maklumat yang tepat tentang penglibatan dalam Jabatan Pertahanan Awam terutamanya dalam kalangan kadet yang telah ditauliahkan kerana bilangan mereka yang melapor diri untuk meneruskan usaha
tersebut masih terlalu kecil berbanding dengan bilangan sebenar yang ada.

“Berdasarkan pengalaman yang dilalui, kepuasan sebenar ialah apabila dapat membantu menyelamatkan mangsa-mangsa yang berhadapan dengan bencana yang merentasi perbezaan yang ada termasuk agama dan keturunan melalui pelbagai ekspedisi yang dibuat sepanjang melibatkan diri dalam Jabatan Pertahanan Awam,” kata Abdul Wahab yang pernah terlibat dalam pelbagai operasi bencana di negara ini.

 DSC1894hjh

Yang turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Selamat Dahalan, Pegawai-Pegawai kehormat dan Bersekutu JPAM dan 624 pelatih yang ditauliah sebagai Leftenan Muda (PA).

 DSC1902jkb

 DSC1909bn

 DSC1913bn

Majlis Pentauliahan dan perhimpunan yang diadakan pada 19-22 Ogos ini telah disempurnakan perasmian oleh YB Dato’ Seri Dr.Shahidan Kassim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Teks: Wan Azahar Wan Ahmad​

  • Created on .
  • Hits: 1433

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024