USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CenPRIS KEMBALI KE FUNDAMENTAL HADAPI CABARAN MASA HADAPAN

 DSC1963hjh

PULAU PINANG, 23 Ogos 2015 – Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) menetapkan hala tujunya untuk kembali kepada fungsi asal Pusat Penyelidikan Dasar yang lebih tertumpu kepada penyelidikan dalam hal-hal berkaitan dasar terutamanya untuk pembinaan negara bangsa.

Penyelaras Operasi CenPRIS, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, melalui Bengkel Perancangan Strategik CenPRIS yang diadakan minggu lalu, tumpuan akan diberi kepada beberapa teras utama termasuk isu-isu ekonomi, politik, sosial dan sebagainya khusus dalam pembinaan negara bangsa.

 DSC1939bnmn

 DSC1956fgjg

“Malah, CenPRIS berhasrat untuk kembali kepada nama asalnya “Pusat Penyelidikan Dasar” yang akan lebih menumpukan usahanya kepada perkara-perkara dan hal-hal dasar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam mengukuhkan lagi penjenamaan universiti,” kata Md. Salleh lagi.

Pihaknya juga berharap agar kepakaran ahli-ahli akademik CenPRIS mahupun teknikal akan berupaya melakar kejayaan seperti sebelumnya dan memacu bakat demi kecemerlangan universiti.

 DSC1954jhfg

Timbalan Pengarah CenPRIS Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula yang mengimbas kembali sejarah dan kedudukan pusat penyelidikan berkata, usaha secara konsisten perlu dilakukan untuk mentransformasikannya dengan melakukan eksperimen baharu dan memberikan tumpuan kepada bidang-bidang baharu mengikut perkembangan, tuntutan semasa serta realiti persekitaran masa kini.

“CenPRIS yakin bahawa fokus penyelidikan kepada dasar perkongsian awam-swasta, dasar pembangunan sosio-ekonomi dan dasar pemodenan luar bandar sambil mengukuhkan kekuatan sedia ada dalam kajian kemiskinan, kajian etnik dan integrasi nasional, makro ekonomi dan pembangunan kerajaan tempatan mempunyai peluang yang besar untuk berjaya,” tegasnya lagi.

 DSC1950nmbn

Azeem Fazwan yakin CenPRIS mampu bangun semula dengan merangka pelbagai usaha yang dibuat malah bersedia menerima cadangan-cadangan dan cabaran baharu termasuk cadangan penggabungan, perkongsian dan pelebaran fungsinya selari dengan hasrat dan evolusi institusional yang ada serta berupaya mengukuhkan lagi fungsi dan kekuatan asasnya dalam penyelidikan dasar.

“Sewaktu awal penubuhannya pada tahun 1974, CenPRIS telah dikenali dengan nama Pusat Penyelidikan Dasar dengan matlamat menjalankan penyelidikan bersifat gunaan dan berorientasikan tindakan untuk membantu proses pembentukan dan pelaksanaan dasar negara,” kata Azeem Fazwan lagi.

 DSC1957hj

Tambahnya lagi, dalam fasa awal dekad 70-an dan awal 80-an, Pusat Penyelidikan Dasar menumpukan tenaga kepada kajian kemiskinan, dasar pembangunan tanah dan wilayah, pertanian, perbandaran, perumahan dan kependudukan serta pembentukan pangkalan-pangkalan data yang disokong oleh para penyelidik yang telah melatih kakitangan dari kumpulan sokongan yang cekap dan mahir untuk menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan secara besar-besaran.

“Kaedah dan teknik yang digunakan pada mula-mula dahulu nyata mendahului zamannya dan banyak mempengaruhi kaedah kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak dan pada masa itu malah Pusat Penyelidikan Dasar mendapat reputasi yang menyerlahkan personaliti institusionalnya namun pada akhir tahun 1980-an, Pusat Penyelidikan Dasar menghadapi beberapa cabaran luaran dan dalaman yang telah mempengaruhi kedudukannya dalam bidang penyelidikan dasar,” katanya lagi.

 DSC1971gjg

Salah satu cabaran yang utama ialah wujudnya pesaing-pesaing dalam bentuk institusi penyelidikan seumpamanya di universiti-universiti tempatan serta organisasi di luar universiti manakala kementerian-kementerian dan agensi-agensi pembangunan juga sudah mula menubuhkan unit penyelidikan sendiri malah kerajaan-kerajaan negeri juga turut mengikuti jejak langkah tersebut termasuklah negeri Pulau Pinang yang sebelum ini banyak berurusan dengan Pusat Penyelidikan Dasar.

“Pelbagai kumpulan pemikir dan organisasi bukan kerajaan juga muncul untuk melibatkan diri dalam bidang dan urusan yang sama dengan bentuk tawaran penyelidikan kontrak juga turut berubah yang menjadikan kontrak penyelidikan sebagai persaingan antara institusi melalui tawaran yang dibuat secara terbuka apatah lagi kontrak dan perundingan awam juga semakin terbuka kepada individu dan kumpulan individu yang tidak memerlukan pelantar institusional untuk menjalankan penyelidikan,” jelas Azeem Fazwan menerangkan sejarah dan antara pengalaman yang dilalui oleh pusat penyelidikan tersebut.

 DSC1960hmjh

Yang hadir sama dalam bengkel ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Alumni USM yang juga bekas pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dato’ Dr. Goh Ban Lee; Pengarah Penyelidikan, Khazanah Research Institute, Dr. Muhammed Abdul Khalid; Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM, Profesor Ahmad Fauzi Abdul Hamid; Pensyarah CenPRIS USM, Profesor Emeritus Omar Farouk Sheikh Ahmad; dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Suresh Narayanan.

CenPRIS mempunyai kira-kira 36 orang pelajar peringkat ijazah tinggi termasuk 33 orang calon Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Malaysia, Indonesia, Iran, Filipina, Thailand, China dan Korea.

Teks: Tan Ewe Hoe & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.​

  • Created on .
  • Hits: 2060

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024