SUKUM 2015: USM LEPASI SASARAN PINGAT
SHAH ALAM, Selangor, 22 Ogos 2015 - 11 emas, 5 perak, 13 gangsa. Itulah pungutan pingat kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) setelah berakhirnya Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM 2015) edisi ke-40 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berakhir semalam.
Skuad Kontingen USM menutup tirai kejohanan dengan merangkul ibu segala pingat menerusi pasukan bolasepak veteran yang menewaskan pasukan tuan rumah, UiTM dengan jaringan 4-0, sekaligus mengekalkan kejuaraan yang disandang sejak tahun 2014. Pasukan berbasikal USM juga terus mengekalkan kehandalan mereka di trek Puncak Alam apabila memperoleh 1 emas dan 2 gangsa.
Ketua Sektor Pembangunan Sukan Staf USM, Nasrullah Mohd Farouk berkata, kejayaan ini adalah hasil daripada kesungguhan dan keazaman semua pihak termasuk pengurusan tertinggi Universiti yang mahu menjadikan sukan sebagai salah satu bidang yang mampu menaikkan nama universiti, selain daripada pencapaian akademik dan penyelidikannya."Selain itu, prestasi cemerlang atlit USM pada kali ini, tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata, tetapi menerusi disiplin diri yang tinggi dan program latihan yang disusun secara teratur dan efektif."
Tambahnya lagi, atas semua faktor yang dinyatakan, sasaran awal dengan 5 emas, 5 perak dan 5 gangsa telah berjaya dilepasi.
"Diharapkan pada kejohanan yang akan datang, Universiti dapat memberikan lebih banyak peruntukan supaya kita dapat menghantar lebih banyak pasukan untuk menyertai SUKUM ini, sekaligus memeriahkan kejohanan dan memungkinkan pungutan pingat kepada pasukan dapat ditambah."
SUKUM 2016 dijangka akan menyaksikan buat kali pertamanya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah.
Statistik pungutan pingat kontingen USM:
Olahraga - 7 emas, 3 perak, 8 gangsa
Tenpin Bowling - 1 emas, 2 perak, 2 gangsa
Basikal - 1 emas, 2 gangsa
Ping Pong - 1 emas
Bolasepan veteran - 1 emas
Sepaktakraw veteran - 1 gangsa
Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Ehsan Sekreteriat SUKUM 2015
- Created on .
- Hits: 1712