USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKUM 2015: USM MASIH TERUSKAN PERJUANGAN

1440384940212

SHAH ALAM, Selangor, 20 Ogos 2015 - Kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini sedang mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan Staf Universiti (SUKUM 2015) terus memperagakan aksi cemerlang walaupun kejohanan hanya tinggal dua hari lagi.

Sehingga hari ini, atlit USM berjaya menuai sembilan pingat emas, dengan tujuh daripadanya dihasilkan di lapangan olahraga menerusi acara 800 meter dan 1500 meter lelaki veteran, 200 meter, 400 meter dan 800 meter wanita veteran, 4x100 meter wanita veteran dan 4x400 meter wanita veteran.

Baki dua pingat emas disumbang melalui sukan ping pong dan boling tenpin dalam kategori wanita veteran.

Pingat emas paling bermakna khususnya adalah daripada sukan ping pong, yang menewaskan pasukan tuan rumah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Pengurusnya, Profesor Madya Dr. Irfan Naufal Umar berkata, kejayaan memenangi pingat emas sememangnya amat bermakna buat pasukan setelah tewas dalam perlawanan akhir pada kejohanan edisi lepas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Menewaskan seteru utama USM yang juga juara bertahan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat separuh akhir sudah cukup menggembirakan kami."

"Percaturan taktikal yang tepat  sewaktu menentang UiTM, berjaya memerangkap lawan dan membuahkan hasil," katanya.

Perjuangan USM dalam sukan lain juga masih belum berhenti apabila skuad bolasepak veteran berjaya menepati ramalan layak ke separuh akhir dan akan menentang Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM) yang membuat kejutan pada kejohanan kali ini.

Bagi ketua jurulatih USM, Mohd Noor Aziz, pertemuan menentang UIAM esok dijangka sengit dengan mengambil kira moral pemain lawan yang semakin tinggi kerana buat pertama kali UIAM melepasi peringkat suku akhir selepas 15 tahun.

Sukan lain pula menyaksikan sepaktakraw veteran hanya layak ke peringkat separuh akhir manakala pasukan futsal dan boling padang lelaki dan wanita terkandas di peringkat suku akhir.

Atlit sukan lumba basikal hanya akan memulakan saingan dan cabaran mereka pada hari terakhir kejohanan, sabtu ini.

Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Ehsan Irfan Naufal Umar

  • Created on .
  • Hits: 1158

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024