USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PALAPES USM CORAK BAKAL PEMIMPIN BERWIBAWA DALAM TENTERA

1440252985594

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-34 di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menyaksikan seramai 1,598 orang pegawai kadet dari semua IPTA  Malaysia ditauliahkan oleh Sultan Selangor, ke bawah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Upacara ini juga menobatkan pegawai-pegawai kadet terbaik dari semua IPTA yang terlibat. Pegawai Kadet Terbaik dari Palapes Laut Universiti Sains Malaysia (USM), Lt. Muda Muhammad Asraf Bin Husnil, 24, memberitahu bahawa minat untuk menyertai dunia ketenteraan bermula sejak dari kecil lagi dan pada asalnya cita-citanya ialah untuk menjadi seorang juruterbang pesawat tempur, tetapi atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, beliau tidak dapat meneruskan pengajian di Kolej Tentera Udara (KTU) dan kemudian beliau bertekad untuk berkecimpung dalam bidang ketenteraan melalui Palapes USM. "Selepas menamatkan pengajian  Diploma di UiTM, saya menerima tawaran melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di USM dan di sinilah bermulanya langkah serius dalam  'semi-millitary' iaitu separuh orang awam dan separuh pegawai tentera", katanya lagi, pelajar Teknologi Bangunan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) yang akan menerima ijazah pada Upacara Konvokesyen November nanti.Tambah Asraf, tidak dapat dinafikan bahawa setiap pegawai kadet ingin menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, tetapi mereka terlepas pandang kepada beberapa faktor iaitu keseimbangan di antara pelajaran dan penglibatan dalam Ko-kurikulum Palapes apabila  dibuktikan oleh beliau dengan menerima anugerah pegawai kadet kanan yang tertinggi CGPA pada sidang akademik 2013/2014.

"Pada masa yang sama, hubungan baik di antara skuad, jurulatih dan pegawai juga perlu dititikberatkan untuk memudahkan segala urusan berjalan dengan lancar kerana ini ialah salah satu sifat diri yang membuatkan masyarakat sekeliling mudah berurusan dengan saya", tambahnya yang juga merupakan Yang Dipertua Kelab Rekreasi Palapes Laut Sidang Akademik 2014/2015.

Menurutnya lagi, bukan itu sahaja, malahan penglibatan dalam beberapa program khidmat masyarakat di luar negara dan menjadi salah seorang pelajar yang dihantar berkursus di Jepun turut menjadi salah satu faktor kejayaan selain daripada aktif bergiat diri dalam beberapa aktiviti di peringkat kebangsaan dan negara.

Asraf berharap pelapis muda dapat meneruskan legasi kecemerlangan Palapes Laut USM ini yang telah dibina sekian lama dan menjadikan Palapes Laut USM ini sebagai tempat rujukan bagi Palapes Laut Universiti Awam yang lain selaras dengan kedudukan Palapes Laut USM sebagai yang tertua di Malaysia. Pada masa yang sama, Asraf mengharapkan agar ramai lagi tokoh-tokoh pelajar yang akan berjaya dilahirkan oleh Palapes Laut USM seperti mana sebelum ini.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibubapa saya dan keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan untuk membolehkan saya meneruskan minat dalam dunia ketenteraan ini serta ucapan terima kasih saya kepada pegawai, jurulatih, staf-staf KD Sri Pinang yang banyak memberi tunjuk ajar sehingga kami selamat ditauliahkan dan  tidak dilupakan kepada rakan-rakan yang sentiasa ada  pada masa susah dan senang di samping para pensyarah yang sentiasa memberi sokongan", tambahnya lagi.

Pada masa ini, Asraf ingin meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan seterusnya ingin bekerja di USM sebagai pensyarah di samping menyertai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM). Tidak mustahil pada satu hari nanti beliau akan menjadi Commanding Officer (CO) bagi KD Sri Pinang, kerana CO KDSP sebelum ini juga merupakan seorang Pensyarah USM. Sementara itu, Pegawai Kadet Terbaik Palapes Darat, Lt. Muda Abi Zarrin bin Mohd Taib, 23, pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pengkhususan  Sejarah pula menganggap anugerah yang diperolehi ini amatlah berharga sebagai  titik tolak permulaan yang penting untuknya terus maju dalam bidang ketenteraan.

1440252994237

"Minat dalam bidang ketenteraan mula timbul sejak di bangku sekolah menengah lagi ketika menyertai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) dan dari situlah tersemai minat untuk memilih ko-kurikulum palapes di USM kerana amat berminat dengan aktiviti-aktiviti semasa latihan palapes yang amat mencabar dan dapat mencerdaskan minda dan fizikal seseorang", ujarnya.Abi Zarrin berharap para pelapis muda akan terus kekal aktif dalam palapes dan terus menyumbangkan idea bagi menaikkan nama palapes USM agar disegani dan megah berbanding universiti awam yang lain hingga ke peringkat yang lebih tingggi untuk terus mengatur langkah dengan kecekalan hati, mental dan fizikal yang kuat kerana kejayaan akan diperolehi jika diiringi  dengan sikap yang bersungguh-sungguh.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Profesor Dato' Omar Osman selaku Komandan Palapes USM kerana banyak memberi peluang dan ruang kepada saya untuk terus maju dalam bidang ini dan juga tidak lupa kepada Timbalan Komandan Palapes Darat USM, ketua jurulatih, pegawai latih serta jurulatih-jurulatih darat yang telah banyak mencurahkan ilmu yang berharga dalam bidang ketenteraan ini yang akan dikenangi sampai bila-bila", tambahnya lagi yang akan terus aktif dalam Kor Wataniah Palapes USM selagi masih bergelar Mahasiswa.

1440253006302

Bagi Pegawai Kadet Terbaik Palapes Udara, Lt. Muda Mohd Fairdaous bin Basir, 23, pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dengan Pengurusan pula menganggap pencapaian ini amat besar ertinya dan beliau sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menerima anugerah ini walaupun semua ahli skuad adalah pegawai kadet yang terbaik."Minat untuk menyertai Palapes tercetus semasa pameran Ko-kurikulum minggu siswa lestari USM hasil pengenalan dan huraian oleh petugas di pameran tersebut," kata Mohd Fairdaous.Tambahnya,  keistimewaan pelajar yang menyertai Palapes menarik minat saya, antaranya ialah kem tahunan Palapes Udara yang mengumpulkan keseluruhan pegawai kadet yang berada di Semenanjung Malaysia di samping  darah satria yang mengalir dalam dirinya juga merupakan faktor yang membuatkan beliau benar-benar tertarik untuk menyertai Palapes kerana ayahnya merupakan pesara tentera darat.

"Saya harap para pelapis muda dapat meneruskan perjuangan di dalam Palapes tidak kira sama ada Palapes darat, laut mahupun udara kerana ia dapat memberikan seribu pengalaman baru, kenangan dan kenalan dalam menempuhi hari-hari yang mendatang yang penuh dengan cabaran ," kata Mohd Fairdaous.

Mohd Fairdaous turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu dan ayahnya yang sentiasa menjadi kekuatannya untuk  melangkah dan mengharungi segala penat lelah dalam meneruskan perjuangan hidup.

"Saya turut terhutang budi kepada  semua pegawai latih seperti Kapt. Mohd Noor Zaquan bin Ab. Malik TUDM, Kapt. Rahayu binti Abdullah TUDM, jurulatih F/Sjn Azizul bin Osman, F/Sjn Aminuddin bin Baharudin, Kpl. U Rozman bin Ramly, Kpl. U Furhan bin Samsudin serta jurulatih tambahan Pegawai Waran 2 Zulkifli bin Abdullah kerana telah mendidik dan mengajar saya untuk menjadi seorang pegawai yang bertauliah serta memberikan peluang kepada saya untuk menerima penghormatan ini, tanpa mereka sudah pastinya kejayaan sebesar ini tidak mampu dijadikan milik saya", tegasnya lagi.

Pentaulihan ini menyaksikan seramai 31 orang kadet daripada Palapes Laut, 57 orang  daripada Palapes Darat dan 27 orang daripada Palapes Udara ditauliahkan yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 115 orang pegawai kadet menerima tauliah masing-masing.Yang turut hadir ke Istiadat Pentauliahan ini ialah Naib Canselor USM yang merupakan Komandan Palapes USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ehsan Mejar Mukhwim Maghribi

  • Created on .
  • Hits: 3070

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024