USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUBUH PUSAT SENI REKA

PULAU PINANG, 22 Ogos 2015 – Creative Design House (CDH) Universiti Sains Malaysia (USM) mempelopori pusat seni reka yang menyatukan semua pereka dari pelbagai pusat dan jabatan di bawah satu bumbung untuk memainkan peranan dalam penjenamaan dan entiti universiti termasuk untuk peningkatan kualiti produk penyelidikan.

Pengarah CDH, Profesor Madya Dr. Azizi Bahauddin berkata, penubuhan ini akan membantu memperkasakan universiti untuk terus melonjak ke hadapan dalam meningkatkan penjenamaan, kecekapan dan produktiviti proses penyampaian USM melalui seni reka pada masa hadapan melalui pelbagai perancangan yang telah dibuat.

Jelasnya lagi, penubuhan CDH telah dirancang pada Oktober 2014 sesuai dengan hasrat Naib Canselor untuk memperkukuh kolaborasi dan tadbir urus universiti yang menyatukan pelbagai kepakaran yang ada sebelum beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2015 setelah diluluskan penubuhan dan pelantikan Pengarah oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dengan kapasiti 16 orang pereka dan dua orang staf pentadbiran".

Mengulas lanjut, Azizi berkata, CDH berperanan penting khususnya dalam menghasilkan rekaan-rekaan yang melibatkan pusat tanggungjawab (PTJ) di USM serta dipertanggungjawabkan sebagai pusat yang membangunkan rangka promosi produk universiti selari dengan usaha kelestarian yang mampu menjimatkan kos penghasilan reka letak melalui konsep kelestarian kewangan.

“Kami menjalinkan kerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan juga Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama universiti," kata Azizi.

CDH juga telah merangka pelbagai strategi untuk lebih dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan melibatkan pelbagai aktiviti termasuklah kursus fotografi yang berkaitan dengan keperluan seni reka di Thailand yang melibatkan penyertaan pihak antarabangsa dalam konteks kreativiti dan reka bentuk.

Kata Azizi lagi, CDH juga akan terus mengukuhkan momentum jabatan dengan lebih agresif dan proaktif di samping akan terus memacu kecemerlangan universiti menerusi perancangan sedia ada."CDH adalah PTJ yang bertanggungjawab dalam mengendalikan Pangkalan Data Bank Reka Bentuk Universiti atau Database Design Bank yang mengumpulkan reka bentuk yang ada," tambahnya lagi.

CDH mempunyai cawangan di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian yang ditubuhkan pada 1 Julai 2015 yang mengumpulkan seramai 19 orang staf dalam kepakaran yang sama.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ahmad Zulman Mohd. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1761

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024