SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME SECARA BERTERUSAN
PULAU PINANG, 22 Ogos 2015 – Kedatangan bulan Ogos setiap tahun sebagai bulan kemerdekaan negara dalam memperkukuh jati diri bangsa dan semangat patriotisme perlu dilakukan secara berterusan.
Apatah lagi semarak semangat rasa cinta kepada negara dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-58 pada tahun ini memberi petanda negara sudah dewasa yang seharusnya juga turut mematangkan pemikiran dan jiwa rakyatnya dalam menghayati erti kemerdekaan.
Kebersamaan dan patriotisme juga perlu diterapkan dalam diri individu sepanjang tahun agar semangat patriotisme bergelora sepanjang masa.
Demikian tegas Pensyarah Kanan dan Pakar Sejarah Indonesia-Asia Tenggara serta Proto-Sejarah, Dr. Nazarudin Zainun, 46, yang memberikan pandangan menarik untuk dikongsi dalam satu sesi temubual khas bersempena bulan kemerdekaan negara di pejabatnya di Bangunan H21 Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) di sini.
Menurut Nazarudin, usaha menyemarakkan semangat patriotisme perlu dilakukan pada setiap masa secara berterusan.
“Membaca sejarah negara, memahami dan menghayatinya serta menjadikannya teladan dan pengajaran dalam kehidupan dalam diri setiap warganegara diibaratkan seperti cermin pandang sisi kerana akan mempengaruhi tindakan individu khususnya dalam membuat sesuatu keputusan sebagai penghayatan dan kesedaran dalam menghadapi cabaran kehidupan mendatang.
“Semangat patriotisme perlu dipupuk dari akar umbi dengan menerapkan dalam diri mahasiswa kefahamaan mengenai sejarah selain menganjurkan pelbagai aktiviti dengan melibatkan penyertaan semua pihak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang supaya nilai kebersamaan itu dapat dipupuk secara berterusan dalam jangka panjang," kata Nazarudin.
Kata Nazarudin, erti kemerdekaan kini semakin besar maknanya berbanding dahulu bukan sahaja untuk masyarakat lebih memahami erti merdeka dari sudut tertentu tetapi kesedaran dan pemahaman rentetan sejarah yang tepat dan betul dalam pemupukan semangat patriotisme yang berterusan sebagai strategi yang amat berkesan untuk diterapkan dalam kalangan diri mahasiswa dalam memaknakan sejarah secara berterusan.
Malah usaha keras yang dilaksanakan oleh universiti melalui penganjuran pelbagai aktiviti terutamanya semasa kemasukan para pelajar baharu sesi 2015/2016 pada 31 Ogos tahun ini sesuai dengan slogan “Sehati Sejiwa” mampu menyemai rasa cinta terhadap tanah air.
“Komitmen universiti dalam mengibarkan jalur gemilang pada ketika ini misalnya mampu menyuntik rasa sayang dan cinta kepada negara selain menunjukkan semangat patriotik yang tinggi apatah lagi sebagai sebuah universiti yang berusaha keras memperkukuhkan semangat patriotisme yang dimiliki oleh mahasiswa dengan melaksanakan program-program khusus untuk menimbulkan kesedaran dan rasa cintakan tanah airnya termasuk melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum dan Pimpin Siswa.
Pakar sejarah tersebut turut menegaskan yang semangat patriotisme ini amat diperlukan pada masa kini apatah lagi ketika ledakan teknologi maklumat seperti media sosial dan dunia globalisasi yang menuntut semangat patriotisme yang tinggi dan kental meskipun negara telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah abad.
“Dorongan, nilai dan sikap yang diterapkan melalui aktiviti yang mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat akan dapat memanifestasikan patriotisme selain perasaan sanggup berkorban jiwa raga demi negara, tidak mencemarkan imej negara serta tidak merosakkan perpaduan yang telah lama terjalin yang selari dengan tema kemerdekaan Sehati Sejiwa.
Katanya, pemupukan semangat kemerdekaan ini sebenarnya telah lama dilakukan oleh pihak universiti dan bersempena pada bulan kemerdekaan ini kita seharusnya mengukuhkan perpaduan, bersatu menghadapi masalah sebagai satu bangsa serta berusaha mencipta kejayaan cemerlang atas nama Malaysia kerana itulah makna kemerdekaan yang sebenar-benarnya bukan hanya pada cogan kata.
Tambah Nazarudin, kebanyakan mahasiswa di negara ini masih kukuh dengan nilai patriotik namun usaha pemerkasaan yang berterusan perlu diterapkan dalam diri mahasiswa dengan terutamanya sikap dan perasaan sayangkan universiti dan sayangkan negara yang mendalam yang diterjemahkan dalam tindakan-tindakan yang dapat menunjukkan sikap dan perasaan tersebut,” katanya.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 7388