CERAMAH SENTUHAN QALBU DAPAT SAMBUTAN HANGAT
PULAU PINANG, 20 Ogos 2015 - Keluarga dan kerjaya merupakan perkara penting yang perlu dilihat lebih terperinci dalam konteks keagamaan serta kehidupan agar kita memperolehi kebahagiaan dan ketenangan yang terbaik.
Demikian merupakan intipati program ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin.
Dalam ceramah ini, kedua-dua penceramah ini menyampaikan tips berguna berkaitan dengan tajuk Sentuhan Qalbu: 'Kerjaya Atau Keluarga Mana Lebih Penting?'.
Menurut Ustazah Bahyah, antara tips yang perlu ditekankan adalah perlunya keikhlasan dan niat kepada Allah SWT, menjaga hubungan dengan Allah SWT dari segi solat walau sesibuk mana sekali pun, tidak mengabaikan tanggungjawab, bidang pekerjaan perlulah yang berkat dan dari sumber yang halal, sabar dalam melakukan sesuatu untuk memperolehi keindahannya, mengeluarkan zakat, setia dalam perhubungan bersama pasangan serta keluarga, sucikan hati, syukur dan redha menerima pasangan masing-masing, sentiasa bertawakkal kepada Allah setelah berusaha, mempersiapkan diri untuk bertemu Allah SWT, jangan putuskan hubungan silaturrahim sesama manusia, menjaga hubungan dengan ibu bapa dan akhir sekali banyakkan berdoa kepada Allah SWT.
"Jika ditanya kepada semua orang, keluarga adalah penting dalam kehidupan masing-masing tetapi kerjaya adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan kerana untuk menyara kehidupan seharian keluarga, seseorang perlulah bekerja dan mempunyai kerjaya,” tambah Ustazah Bahyah.
Sementara itu, Ustaz Wan Akashah pula berkata, kita perlulah meninggalkan sifat 4M dalam hidup ini dan melakukan 5S iaitu meninggalkan sifat mengeluh, merungut, menyesal dan mengumpat manakala 5S yang perlu dilakukan adalah salam, mengucapkan assalamualaikum, senyuman, sapaan dan sopan agar kita memperolehi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup seharian.Jelasnya lagi, seeloknya seorang suami perlu pulang dari kerja ke rumah sebelum maghrib untuk bersama keluarga melakukan amal ibadah bersama, mengejutkan anak-anak dari tidur dengan penuh kasih sayang dan sebaiknya mengeluarkan zakat secara bulanan.
"Secara kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa keluarga adalah impian dan kerjaya pula adalah pilihan," tegasnya lagi di akhir ceramah.
Ceramah ini adalah anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penempatan Graduan & Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) dan Pusat Transformasi Insan dengan kerjasama Subaidah Holding Sdn Bhd.
Lebih 600 orang hadir dan memenuhi Dewan Budaya USM dalam program yang diadakan ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1823