USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOR SISPA BINA JATI DIRI

PULAU PINANG, 20 Ogos 2015 – Penglibatan dalam aktiviti berpakaian seragam seperti Kor Sukarelawan Siswa-siswi Pertahanan Awam (SISPA) mampu untuk membina jati diri dan melahirkan anak-anak muda sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, sikap amanah, berani dan kekuatan diri yang menjadi teras jati diri bangsa menjadi kunci kejayaan terutamanya dalam membangunkan keupayaan kepimpinan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Keunggulan jati diri seseorang anggota masyarakat dan negara akan tercapai dengan menghayati sifat amanah dengan erti kata yang sebenar-benarnya dengan mengenepikan kepentingan diri dalam melakukan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan awam melalui penyertaan sebagai anggota badan beruniform,” kata Shahidan.

Tambahnya lagi, universiti merupakan institusi yang mampu melatih dan membentuk pelajar menjadi seorang pemimpin yang  dapat menilai dengan bijak dalam apa jua yang  dilakukan termasuk memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan apa-apa maklumat yang diperolehi.

Berucap merasmikan Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2015, di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini, Shahidan berharap dengan pentauliahan ini mereka akan terus menabur bakti untuk negara dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan kesukarelawanan demi kepentingan rakyat, negara dan dunia seluruhnya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang berucap pada majlis yang sama menggesa para pelajar terutamanya anggota pertubuhan berpakaian seragam seperti Kor SISPA ini agar sentiasa bijak membuat pertimbangan dalam menangkis pelbagai tohmahan terhadap negara.

“Disiplin dan kemahiran yang diperolehi melalui penyertaan dalam aktiviti seperti ini sewajarnya dapat digunakan untuk mempertahankan negara ini dari musuh yang nampak mahupun yang tidak yang terdapat dalam kalangan masyarakat hari ini,” kata Omar.

Tegasnya, anak-anak muda kini perlu diterapkan dengan elemen-elemen patriotisme yang mampu mengekang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat dalam usaha berhadapan dengan musuh-musuh yang mengganggu gugat keamanan negara melalui pelbagai cara termasuk media sosial, yang menanam kebencian dan hanya mencari segala segala kesilapan dengan melaga-lagakan sesama kita malah juga menabur fitnah melalui pelbagai cara tanpa berasaskan data dan fakta sebenar atau hanya melihat dari sisi yang diinginkan akan mengakibatkan tandusnya nilai-nilai murni dalam diri.

Omar turut menyeru agar para pelajar universiti dan mereka yang berada dalam komuniti akademik, komuniti ilmuan dan komuniti cendekiawan sentiasa mempertahankan prinsip kebenaran yang berasas dan berteraskan kepada fakta dan angka yang benar dan tepat yang datangnya dari sumber yang sahih.

“Nilai-nilai akademia yang bertunjangkan kepada kebenaran ini harus menjadi paksi kepada warga pendidikan untuk melihat sesuatu itu dalam konteks dan perspektif yang betul dan bukannya menerima bulat-bulat apa yang ditaburkan dan diberi melalui sumber tidak sahih,” kata Omar.

Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2015 mentauliahkan sejumlah 624 Pegawai Kadet SISPA dan 64 Pegawai Kehormat/Bersekutu dengan penglibatan sebanyak 12 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan empat buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sejumlah 624 orang pegawai ditauliah dan diwatikahkan Pegawai Kadet SISPA dengan pangkat Leftenan Muda (PA), manakala 64 orang Pegawai IPT & Korporat diwatikahkan Pegawai Kehormat & Bersekutu.

Matlamat penubuhan Kor SISPA ialah untuk membentuk para graduan melalui pelbagai aktiviti pertahanan awam bertujuan memantapkan semangat patriotik serta meningkatkan tahap disiplin dan membina semangat bekerjasama berlandaskan semangat kesukarelawanan dan penglibatan khidmat sosial.

Yang hadir sama ialah, Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Dato’ Zaitun Ab Samad; Pendaftar USM Puan Siti Zubaidah A. Hamid; Pegawai-pegawai utama USM; Pegawai-pegawai utama JPAM; Komandan-komandan Kor SISPA; Pegawai-pegawai Kehormat dan Bersekutu JPAM.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa & Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1591

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024