USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IDEA PEMIKIR DITAGIH UNTUK BANTU PEMBANGUNAN NEGARA

PULAU PINANG, 21 Ogos 2015 – Ahli akademik khususnya yang bertaraf profesor di kesemua Universiti Awam (UA) ditagih untuk membuahkan pendapat, idea serta penyelesaian kepada isu-isu semasa dan menyumbang dalam proses pembangunan negara.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM turut tidak terkecuali dalam memainkan peranannya ke arah pembangunan ekonomi negara yang mapan, kesejahteraan sosial, kestabilan politik dan sebagainya.

Katanya, golongan profesor adalah aset negara yang seharusnya memainkan peranan dalam menggunakan kepakaran masing-masing untuk pembangunan modal insan dan pebangunan negara.

“Sumber utama yang berpotensi untuk digemblengkan adalah dalam kalangan para profesor yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing yang boleh dimanfaatkan secara strategik ke arah pembangunan bangsa dan negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penubuhan Majlis Profesor Negara Chapter USM serentak menyampikan watikah kepada sepuluh ahli akademik bertaraf profesor yang dilantik dalam badan tersebut di sini baru-baru ini.

MPN Chapter USM dianggotai empat ahli jawatankuasa (AJK) peringkat tertinggi iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Kehormat, Bendahari Kehormat dan diikuti 6 Ketua kluster.

Kesemuanya dilantik melalui proses pemilihan secara elektronik. Enam kluster berkenaan adalah Sains Gunaan, Sains Tulen, Kejuruteraan, Sains Kesihatan & Perubatan, Sastera serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan/Akademik/Institut.

Penubuhan MPN Chapter USM itu juga selaras dengan hasrat dan tanggungjawab yang diberikan oleh MPN di peringkat kebangsaan untuk UA menggembleng ahli akdemiknya bagi pembangunan bangsa dan negara secara rasmi melalui MPN.

Dalam pada itu, Pengerusi MPN Chapter USM, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad pula berkata, pihaknya akan memberikan komitmen untuk menggerakkan kesemua ahli akademik USM mengikut kluster masing-masing dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan dan pembangunan negara.

“Profesor yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing diyakini dapat menggembleng tenaga dan mampu merancang atau menyelesaikan isu-isu dalam negara supaya ianya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap usaha ini akan mendapat sokongan penuh dalam kalangan profesor USM melalui kluster masing-masing dan berharap semua pihak dapat memberi sumbangan kepada ketua kluster untuk dibincangkan ke peringkat lebih tinggi,’’ katanya.

Pendapatnya turut disokong timbalannya, Profesor Dr. Ahmad Farhan Sadullah yang berpendapat USM mempunyai peranannya tersendiri khususnya dalam membawa adunan dan kekuatan Universiti untuk manfaat pembangunan negara.

“Kita perlu membawa balik peranan pemikir-pemikir negara dalam kalangan profesor sebagai tunjang pemikiran bagi menyelesaikan isu-isu negara.  Dengan kekuatan yang ada kita akan cuba sedaya-upaya untuk menjayakan usaha murni ini.

“Ini juga adalah salah satu pentas untuk kita meningkatkan kecemerlangan Universiti dan dalam masa yang sama memberi kesedaran di peringkat nasional,’’ katanya.

Beliau juga berkata, inisiatif itu turut akan membolehkan negara memperoleh manfaat dan dalam skala yang lebih besar ia akan memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhan.

SENARAI PENUH MPN CHAPTER USM:

Pengerusi

Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad

Timbalan Pengerusi

Profesor Dr. Ahmad Farhan Sadullah

Setiausaha Kehormat

Profesor Dr. Abd. Karim Alias

Bendahari Kehormat

Profesor Dr. Zabidi Azhar Husin@Mohd. Hussin

Ketua Kluster Sains Gunaan

Profesor Dato’ Ir. Dr. Mahyuddin Ramli

Ketua Kluster Sains Tulen

Profesor Dr. Abd. Aziz Tajuddin

Ketua Kluster Sastera

Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed

Ketua Kluster Sains Kesihatan & Perubatan

Profesor Dr. Zilfalil Alwi

Ketua Kluster Kejuruteraan

Profesor Dr. Ahmad Fauzi Mohd. Noor

Ketua Kluster Pusat Kecemerlangan Penyelidikan/Akademik/Institut

Profesor Dr. Merza Abbas

  • Created on .
  • Hits: 1615

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024