USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOR SISPA LATIH DISIPLIN DAN YAKIN DIRI

PULAU PINANG, 20 Ogos 2015 – Berpegang teguh kepada prinsip amanah, bertanggungjawab dan komited  terhadap setiap tugasan yang diberi merupakan antara kunci utama kejayaan bagi salah seorang penerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik dari Universiti Sains Malaysia (USM), bersempena Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2015, Siti Nurshafiqiah Khazini Mohd Rani.

Pelajar pengkhususan Sains Kejururawatan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan, Siti Nurshafiqiah, 22, gembira dengan penganugerahan tersebut selain menganggapnya sebagai pencapaian yang tidak disangka sepanjang tiga tahun menyertai badan beruniform berkenaan.

“Saya rasa sangat berbaloi apabila kemuncaknya pada hari ini, saya dianugerahkan Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik berkat dorongan dan doa ibu dan ayah serta percaya bahawa setiap usaha dan kerja keras yang dilakukan sekiranya bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan hasil,” katanya lagi yang juga merupakan Pengerusi Kor SISPA USM.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Masnadia Kasim, 23, memberitahu sentiasa mendengar arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberi merupakan rahsia kejayaan dalam menerima anugerah tersebut.

“Perubahan positif berlaku apabila saya menyertai Kor SISPA ini antaranya saya lebih berkeyakinan apabila bercakap di khalayak, penampilan lebih kemas dan berani mengambil tanggungjawab untuk membantu selagi mana termampu,” kata Masnadia yang merupakan Pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi UMT.

Penuntut Fakulti Sains Komputer dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu, Muhammad Salihin Abdul Karim, 21, pula bersyukur kerana diberi peluang dan mandat untuk menerima anugerah tersebut.

“Selepas ini mungkin tanggungjawab lebih besar bakal digalas, namun saya komited untuk terus berbakti kepada masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya menyertai Kor SISPA memerlukan komitmen yang tinggi dalam membahagikan masa antara kuliah dan kokurikulum namun kerana minat yang mendalam perkara tersebut dapat diatasi.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, Muhammad Hazwan Saifulqahar, 22, pula berkata, selepas hampir empat tahun menyertai Kor SISPA, dia banyak berkongsi ilmu yang telah diberi oleh jurulatih dengan junior untuk manfaat bersama dan menyertai pelbagai aktiviti-aktiviti di luar waktu kuliah khusus untuk membangunkan masyarakat.

Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nik Nur Shaheera Nik Man, 21, berkata  dia hanya mampu mengucapkan syukur selain menganggapnya sebagai rezeki.

Kata Nik Nur Shaheera, setiap  perkara yang dilakukan, lakukan sehabis baik kerana amanah yang dipikul harus dilaksanakan dengan sepenuh jiwa selain 'passion' yang tinggi mampu membawa individu pergi lebih jauh.

Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2015 mentauliahkan sejumlah 624 Pegawai Kadet SISPA dan 64 Pegawai Kehormat/Bersekutu dengan penglibatan sebanyak 12 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan empat buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Seramai  624 orang pegawai ditauliah dan diwatikahkan Pegawai Kadet SISPA dengan pangkat Leftenan Muda (PA), manakala 64 orang Pegawai IPT & Korporat diwatikahkan Pegawai Kehormat & Bersekutu.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa & Zamani Abdul Rahim.

  • Created on .
  • Hits: 1620

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024