IDRIS JALA KONGSI CARA EFEKTIF TANGANI KRISIS
PULAU PINANG, 20 Ogos 2015 - Berdepan krisis besar dalam mana-mana organisasi adalah situasi lumrah, malah boleh ditangani dengan mengaplikasikan langkah-langkah tertentu yang dapat menjamin kejayaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Sri Idris Jala berkata empat kunci utama jika diambil perhatian akan membolehkan sesebuah organisasi berjaya beralih dari krisis kepada fasa kejayaan.Katanya, kunci utama yang dimaksudkan bermula dengan mengaplikasikan kepimpinan mengikut situasi, terap cabaran mencuba perkara mustahil, mengemudi organisasi dengan ukuran kejayaan yang tepat dan pastikan setiap yang dirancang berjalan sebaiknya berdasarkan tiga asas iaitu buat, pantau dan selesai.
"Teknik atau model yang sama boleh diaplikasikan setiap kali menghadapi krisis atau turbulent. Tiada yang mustahil untuk ditangani asalkan kita tahu bagaimana cara efektif untuk menanganinya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi syarahannya yang bertajuk 'Managing During Turbulent Times' di hadapan kira-kira 400 hadirin dalam kalangan warga Universiti Sains Malaysia (USM), pihak industri, komuniti dan sebagainya di sini hari ini.
Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan (PPP), Profesor Dr. Fauziah Md. Taib.
Beliau yang juga alumni PPP USM berkata, untuk berjaya menangani krisis, kepimpinan juga perlu merancang senario masa hadapan dengan perancangan yang terbaik dengan mengambil kira situasi baik, kurang baik dan terburuk.
Katanya, bermain permainan yang tepat di saat genting juga menyebabkan sesebuah organisasi akan berdepan cabaran yang bukan calang-calangnya.
Katanya, kepimpinan secara mengarah (directive) misalnya akan membuatkan sesetengah pihak tidak berpuas hati namun itu yang terbaik untuk dipraktikkan dalam situasi turbulent.
Tambahnya lagi, setiap ahli pasukan yang sedang berdepan krisis juga perlu berada pada prestasi terbaik untuk mengembalikan keadaan tegang kepada tenang seterusnya cemerlang.
"Model yang dikongsikan telah terbukti membuahkan hasil. Krisis adalah situasi luar biasa yang turut memerlukan satu sistem penyelesaian yang luar biasa," katanya.
Idris juga telah membuktikan keupayaanya meneraju pelbagai organisasi multinasional di saat berdepan krisis besar sehingga mencapai kejayaan memberangsangkan, antaranya SHELL, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan terkini turut meneraju PEMANDU sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Dalam majlis yang dibuat bersempena sambutan 25 tahun PPP itu, Idris turut dilantik sebagai ‘Distinguished Alumnus in Residence’ sekaligus diiktiraf sebagai ‘Distinguished Alumnus PPP’.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1509