USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM – COLUMBIA UNIVERSITY PANTAU PERKEMBANGAN CUACA NEGARA

prof azizi

PULAU PINANG, 20 Ogos 2015 – Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Columbia University New York akan terus memantau dan melaporkan data ramalan cuaca semasa kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menghadapi kemungkinan berulangnya bencana banjir di negara ini.

Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim berkata, pihaknya mengambil inisiatif membuat pemantauan bencana alam di seluruh dunia terutamanya Asia Pasifik dan jangkaan-jangkaan kebarangkalian untuk berulangnya bencana seperti yang berlaku pada tahun lalu di negara ini secara berterusan sesuai dengan peranan pihaknya yang berusaha membantu dalam isu-isu bencana dan kelestarian alam.

“Kita boleh memantau dan melihat trend serta kemungkinan untuk berlaku dari segi pergerakan angin, puting beliung, ramalan cuaca dan coraknya namun yang menentu akhirnya ialah Allah S.W.T.  malah pihak CGSS kini sedang memantau perubahan arah angin yang datang dari Siberia menuju ke Kelantan dan akan memaklumkan perkembangan dan kemungkinan yang ada pada bulan September nanti,” kata Kamarulazizi.

Tegas Kamarulazizi, banjir besar di Kelantan yang berlaku pada tahun lepas merupakan sesuatu yang jarang berlaku malahan aliran udara dan angin kian berubah selain keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur Laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku sekarang ini dengan kejadian-kejadian ribut di pelbagai tempat termasuk puting beliung adalah juga berkait rapat dengan perubahan cuaca dan kesan rumah hijau yang berpunca daripada sikap dan amalan selama ini yang ditambah buruk lagi apabila kehijauan bumi diganggu oleh aktiviti manusia yang pelbagai.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, yang juga Pensyarah Geografi Profesor Dr. Chan Ngai Weng turut mengakui bahawa perubahan cuaca  kini merupakan salah satu implikasi dari aktiviti manusia yang menyebabkan "kesan rumah hijau tiruan".

Tegas Ngai Weng, umum mengetahui ketika era Revolusi Perindustrian yang berlangsung bermula sekitar 1760-an, pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera berlaku mendadak dan kandungannya di atmosfera bumi semakin bertambah setiap tahun yang menyumbang kepada masalah pencemaran dunia seperti peningkatan suhu, hujan asid, jerebu dan sebagainya.

“Situasi ini harus membuatkan kita sedar bahawa pemanasan iklim global yang berlaku hari ini bukan lagi sekadar proses semula jadi malahan turut didorong dan dipengaruhi faktor manusia dan kesan rumah hijau tiruan adalah tanda amaran terhadap pemanasan atmosfera dan permukaan planet oleh satu proses kompleks yang membabitkan cahaya matahari, gas dan bahan pencemaran kecil yang lain di atmosfera,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kesan rumah hijau semula jadi telah bermula lama sebelum kewujudan manusia lagi malahan kegiatan manusia pada masa kini menambah  buruk lagi kesan tersebut sehingga digelar kesan rumah hijau tiruan/antropogenik.

“Kesan rumah hijau terjadi akibat atmosfera memerangkap haba yang dikeluarkan oleh gas rumah hijau dan atmosfera menyimpan lebih banyak haba (daripada yang dibebaskannya) menyebabkan bumi menjadi semakin panas,” jelasnya.

Kata Ngai Weng lagi, antara kesan pemanasan global ialah banjir, ini kerana apabila suhu semakin meningkat, ais di Kutub Utara mula mencair dan menyebabkan paras air laut meningkat, malahan apabila air laut menjadi panas, ini akan menyebabkan isipadu air mengembang lalu menaikan lagi paras laut lalu menenggelamkan kawasan pinggir pantai yang cetek.

“Kebanyakan peningkatan disebabkan oleh aktiviti manusia, terutamanya pembakaran minyak fosil seperti arang, minyak, dan gas asli dengan minyak fosil mengandungi karbon dan pembakarannya menghasilkan karbon dioksida, iaitu gas rumah hijau utama. Kandungan karbon dioksida sebelum revolusi industri ialah sekitar 280 bsj (bahagian sejuta) tetapi pada tahun 2015, parasnya ialah kira-kira 400 bsj. Tambahan lagi, kebanyakan hutan (iaitu pokok dan vegetasi lain) di merata tempat di dunia, yang menyerap gas ini melalui proses fotosintesis telah dimusnahkan,” jelas pakar yang telah banyak terlibat dalam pelbagai kajian di seluruh dunia dan merupakan aktivis alam sekitar negara terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan air.

Jelasnya lagi, tanah dibersihkan dan hutan yang ditebang juga menyebabkan kadar karbon dioksida meningkat.

“Nasihat saya, sebagai warga dunia yang prihatin, kita harus bimbang dengan fenomena pemanasan global yang semakin kritikal dan sewajarnya satu tindakan secara bersama dan drastik bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau perlu dilakukan khususnya untuk generasi akan datang,” katanya lagi mengakhiri sesi temubual.

Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin.​

  • Created on .
  • Hits: 1751

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024