USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JBPM PUAS HATI LAYANAN, KEMUDAHAN USM

NIBONG TEBAL, 20 Ogos 2015 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpuas hati dengan layanan dan kemudahan yang diberikan selama seminggu penganjuran Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2015.

Menurut Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Azmi Tamat, pihaknya sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) kerana membenarkan mereka menjadikan USM sebagai lokasi koordinasi pertandingan.

“Secara keseluruhan, perjalanan pertandingan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan berjalan dengan lancar tanpa terpalit sebarang masalah besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2015 di sini semalam.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang begitu baik diterima oleh jabatan kami dari pihak universiti terutama dalam hal penginapan, keselamatan dan penggunaan dewan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wira Haji Wan Mohd Nor Haji Ibrahim yang merasmikan majlis penutupan turut menghargai USM dan mengharapkan hubungan baik sedia ada dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Yang hadir dalam majlis penutupan ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dato’ Haji Amer Haji Yusof dan Pengurus Operasi, Bukit Merah Lake Town Resort, Haris Fadzillah Hamat.

Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin​

  • Created on .
  • Hits: 1129

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024