iCMR DIGESA BINA KOLABORASI PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI
PULAU PINANG, 19 Ogos 2015 – Persidangan 'International Conference On Multidisciplinary Research' (iCMR 2015) melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 180 perbentangan kertas kerja dari peserta pelbagai negara.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, persidangan kali ini berjaya menyatukan peserta dari pelbagai latar belakang penyelidikan berkongsi hasil penyelidikan masing-masing.
"Melalui 'Sharing Inspirations, Encouraging Innovations,' para peserta seharusnya mengambil peluang berkongsi hasil penyelidikan mereka dengan mewujudkan kolaborasi bersama-sama rakan penyelidik lain supaya pada masa hadapan dapat hasilkan yang lebih berimpak tinggi," kata Naib Canselor.
Beliau turut menggesa peserta agar menggunakan persidangan ini sebagai platform untuk merangsang pertukaran pengetahuan dari pelbagai disiplin penyelidikan dengan mengukuhkan usaha memupuk kerjasama dan motivasi menerokai bidang baharu dalam penyelidikan dan inovasi. "Contohnya dalam bidang Nanoteknologi yang mungkin tidak ramai mengetahui beberapa tahun yang lalu, kini telah meningkat naik dalam penyelidikan di negara ini yang memerlukan penglibatan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian berkaitan untuk memberi impak tinggi terhadap kehidupan manusia," katanya merasmikan iCMR 2015 hari ini.
iCMR 2015 merupakan acara tahunan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan kerjasama Universiti Islam Sumatera Utara (UISU), Medan, Indonesia, Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH) dan Universitas Hasanuddin (UNHAS).
Dekan PPPJJ, Prof Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi berharap persidangan yang diadakan buat kali keempat ini mampu diteruskan pada masa hadapan dan menjadi satu persidangan yang memberi sumber inspirasi kepada semua peserta.
"Sebanyak 180 kertas kerja akan dibentang oleh para peserta iaitu 41 kertas kerja dalam bidang Biologi dan Sains Tulen, 71 dalam bidang Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan, 22 dalam bidang Pengurusan dan Ekonomi, 35 dalam bidang Pendidikan dan ICT serta 9 dalam bidang Sains Kesihatan.
USM turut menghantar sebanyak 45 pembentang kertas kerja dari dalam kalangan pelajar dan staf PPPJJ sementara 36 lagi dari pusat-pusat pengajian lain. Manakala penglibatan peserta khususnya dari Indonesia amat menggalakkan apabila mereka menghantar seramai 45 orang pembentang kertas kerja pada persidangan kali ini," katanya.
Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1047