ICDSSI 2015 PLATFORM TERBAIK KUPAS ISU KETIDAKSAMAAN SOSIO-SPATIAL
PULAU PINANG, 19 Ogos 2015 - Sesebuah negara tidak boleh dianggap sebagai maju sepenuhnya sekiranya kemajuan dan pembangunan tidak diagihkan dengan adil kepada warganegara dari semua lapisan masyarakat terutamanya dalam aspek ruang sosial.
Demikian kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dalam majlis perasmian International Conference On Development And Socio-Spatial Inequalities (ICDSSI) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), di sini, hari ini.
Kata Ahmad Shukri, antara ketidaksamaan yang wujud pada hari ini ialah dalam status sosial dan politik, peluang-peluang pendidikan dan latihan serta pekerjaan, begitu juga akses kepada sumber.
“Tugas berat yang harus dipikul bersama ialah untuk memberikan kefahaman kepada khalayak besar kita tentang aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju dari segi ekonomi, politik serta sosial secara holistik dan inklusif tatkala ramai yang melihatnya sebagai satu kekosongan dalam menjulang jati diri sosio budaya masyarakat,” kata Ahmad Shukri.
Beliau menyeru agar usaha terus dibuat untuk menerokai kerjasama di peringkat antarabangsa dan dunia dengan lebih luas lagi sama ada dengan universiti luar negara mahu pun institusi dan agensi yang dapat merealisasikan hasrat murni ini agar mereka yang pakar dapat dibawa berbincang dan bekerjasama bagi membantu membawa amalan tersebut ke arah yang lebih berimpak tinggi kepada negara secara keseluruhannya.
Sementara itu, Ketua Pengarah YaPEIM Dato’ Abibullah Haji Samsudin berkata, kolaborasi pertama pihaknya bersama USM dan PERDA ini diharap mampu mengenengahkan isu-isu penting dalam merangka strategi dan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dapat diambil tindakan dengan sewajarnya.
“Sudah tiba masanya cendiakawan serta pakar-pakar duduk semeja berbincang dan mencari inisiatif bagi menyatukan idea, memahami isu, faktor penyebab, dan punca berlakunya ketidakupayaan sosio setempat untuk digembleng bersama penyatuan idea seperti melalui penganjuran persidangan ini yang melibatkan pakar-pakar geografi dan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan yang mampu membawa perubahan dalam komuniti masyarakat seterusnya diketengahkan di persada dunia,” kata Abibullah lagi dalam ucapan perasmiannya di hadapan kira-kira 150 orang peserta ICDSSI 2015.
Beliau berharap ICDSSI mampu membina repositori dalam menerbitkan pelbagai rujukan ilmiah berkenaan amalan terbaik untuk menghadapi ketidaksamaan ruang sosial ini.
ICDSSI 2015 berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 20 Ogos 2015 yang mengupas isu-isu dan senario semasa termasuklah kemiskinan, ketidaksamaan sosial, peningkatan kos sara hidup, tekanan hidup di bandar dan sebagainya yang bakal menjadi platform percambahan idea dalam kalangan para pendidik.
Yang hadir sama ialah isteri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) Datin Dr. Aishah Knight Abdul Shatar; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim; Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin; Penolong Pengurus (Pembangunan Usahawan) II PERDA Encik Firdaus Fadli Noordin; Pengarah Pusat Inovasi Perancangan dan Pembangunan (CIPD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ibrahim Ngah; Pengerusi ICDSSI 2015 Profesor Madya Dr. Narimah Samat dan para peserta seminar yang lain.
Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1615