USM TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN ETIQA TAKAFUL BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN
PULAU PINANG, 19 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menyumbang dana buat pelajar USM yang dikenalpasti kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian setelah menerima sumbangan zakat perniagaan oleh Etiqa Takaful Berhad baru-baru ini.
Sumbangan zakat bernilai RM170,150.00 tersebut akan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM untuk disalurkan kepada pelajar berkenaan dalam usaha membantu meringankan beban mereka menghadapi kos hidup yang tinggi.
Bercakap ketika menghadiri majlis serahan sumbangan zakat itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman berkata USM akan memanfaatkan sepenuhnya zakat yang diberi bagi menyalurkan bantuan kepada yang benar-benar memerlukan.
“USM sentiasa berkhidmat kepada semua peringkat masyarakat melalui pembelajaran dan pendidikan berdasarkan kemudahan yang dimiliki, demi kesejahteraan semua," kata Omar.
Tambah beliau, USM telah menubuhkan Yayasan USM bertujuan mewujudkan dana yang konsisten terutamanya melibatsamakan industri dan komuniti.
“Sekarang ini kita telah fokuskan pelajar yang dikategorikan 40 peratus terkebawah (B40) dengan USM menawarkan 380 tempat untuk mereka menyambungkan pengajian di USM,” kata Omar.
Naib Canselor berkata, terdapat dalam kalangan mereka ini yang dikenalpasti begitu cemerlang dalam pendidikan walaupun berlatarbelakangkan keluarga yang susah.
“Kerana itu, kehadiran industri luar seperti Etiqa Takaful dalam meneruskan program tanggungjawab korporat ini sekurang-kurangnya dapat membantu universiti menjayakan hasrat murni membantu golongan terkebawah,” tambahnya lagi.
Ketua Agensi Am dan Perniagaan Kelompok, Etiqa Takaful Berhad, Shahrul Azuan Mohamed berkata, Etiqa sentiasa memandang berat dalam usaha membantu golongan terkebawah seperti yang dilakukan kini oleh USM.
“Selaras dengan janji jenama syarikat iaitu menginsankan insurans dan takaful, program ini sememangnya memudahkan dan mengoptimumkan pengagihan zakat syarikat terus kepada mereka yang layak dan memerlukan," katanya lagi.
Tambahnya, setiap tahun lebih daripada RM1.5 juta telah disumbangkan oleh Etiqa Takaful melalui program sebegini untuk membantu institusi dan keluarga yang kurang berkemampuan termasuklah keperluan asas seperti peralatan pendidikan, komputer, keperluan kesihatan dan sebagainya.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa Takaful Berhad Rosli Mohamed serta pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1487