USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJIKAN DISERU SOKONG PENYUSUAN IBU

KUBANG KERIAN, 19 Ogos 2015 - Minggu penyusuan susu ibu disambut pada bulan Ogos setiap tahun di seluruh dunia bertujuan mengiktiraf usaha gigih ibu-ibu dalam menjayakan penyusuan susu ibu.

Sambutan ini juga adalah untuk mendidik dan mempromosi penyusuan ibu kepada ibu-ibu baharu yang melahirkan bayi.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dato’ Dr Zaidun Kamari ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 peringkat Hospital USM berkata, penyusuan susu ibu merupakan salah satu amalan yang sangat mulia di sisi Islam dan juga agama-agama lain.

"Ibu yang menyusukan bayi mereka dengan susu ibu akan menerima ganjaran pahala yang sangat besar kerana berusaha untuk membesarkan anaknya dengan pemakanan yang terbaik dan mereka yang menyusukan bayi secara eksklusif mempunyai anak-anak yang sihat," kata Zaidun.

Tambahnya lagi, wanita yang bekerja jarang memohon cuti untuk menjaga anak yang sakit, kerana bayi mereka mempunyai antibodi yang tinggi serta mereka produktif dalam keberhasilan kerja kerana tidak perlu risau tentang kesihatan bayi mereka yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pihak majikan.

Tema sambutan pada tahun ini adalah “Penyusuan Ibu dan Kerjaya, Mari Jayakan” yang memberi penekanan terhadap usaha menggalakkan pesekitaran pekerjaan yang kondusif untuk wanita bekerja, sama ada di dalam sektor awam mahu pun swasta, untuk mengamalkan penyusuan susu ibu.

“Majikan atau ketua unit dan jabatan mempunyai pengaruh ke atas jangka masa penyusuan terutamanya dalam masa enam bulan pertama kelahiran bayi kerana jika majikan tidak menyokong maka gagallah ibu untuk meneruskan penyusuan apatah lagi bukan semua mereka sanggup menghadapi cabaran yang besar dalam penyusuan susu ibu, kerana itu sokongan majikan sangat penting demi meningkatkan tahap kesihatan ibu dan bayi,” jelasnya lagi.

Tambah Zaidun, majikan seharusnya menawarkan kemudahan seperti menyediakan polisi untuk menggalakkan ibu-ibu yang berkerjaya untuk menyusu, menyediakan tempat memerah susu yang lengkap dan selesa, berbincang tentang masa yang fleksibel bagi ibu berkerjaya menyusu dan sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau permohonan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Kepada ketua-ketua unit dan jabatan sebagai mewakili pihak majikan, sokonglah penyusuan susu ibu kerana bukan sahaja ia menguntungkan ibu dan bayi, malah anda juga akan merasai keuntungannya secara tidak langsung. Sokonglah penyusuan susu ibu,” katanya lagi.

Yang turut hadir ke majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, Dr Nik Min Ahmad, Timbalan Pengarah Kanan Pengurusan, Ketua-ketua jabatan dan unit serta agensi-agensi luar.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail/Foto: Muhammad Sham Mustapha

  • Created on .
  • Hits: 1289

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024