USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SILA STUDIO MARTABATKAN SENI SERAMIK - MENARIK PERHATIAN ANTARABANGSA

 DSC0558fgj

PULAU PINANG, 19 Ogos 2015 – Pertama kali menjejak kaki di sini sudah terasa suasana kampung dan keunikan studio yang didirikan di sebuah rumah lama berusia hampir seratus tahun yang terletak di Kampung Jalan Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Studio ini menggambarkan minat dan kesungguhan ahli akademik ini terhadap industri kreatif khususnya seramik yang memberi ilham kepada pensyarah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) itu membuka ‘Sila Studio’ dalam menterjemahkan hasil karyanya.

 DSC0409fgng

Menariknya, pada hujung Ogos ini, Sila Studio bakal menerima kunjungan dari syarikat perfileman dari United Kingdom (UK) yang dijadikan latar tempat bagi rakaman penggambaran sebuah filem produksi antarabangsa yang belum boleh diumumkan tajuknya sekaligus memberi peluang mempromosi Sila Studio kepada masyarakat Malaysia dan dunia antarabangsa.

Kesempatan untuk menemubual Dr. Shamsu Mohamad, 53, telah memberi satu perspektif baharu untuk dirasai dan difahami perjalanan seninya yang sudah 32 tahun dalam industri ini yang membawanya memenangi pelbagai anugerah antarabangsa hasil penyelidikan dan inovasi sepuhan seramik.

Sila Studio merupakan studio seramik yang diusahakan Shamsu bersama isteri, anak dan saudara terdekatnya itu menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari seluruh pelosok dunia yang ingin mendekati dan melihat lebih dekat hasil tangannya selain menjadi tarikan kepada artis-artis seramik tempatan untuk berkongsi dan mempamerkan hasil-hasil seni mereka kepada komuniti setempat.

 DSC0460gfj

 DSC0453fgj

 DSC0401h

“Saya terpanggil untuk membuka studio seramik ini kerana di Malaysia masih kurang jumlahnya, malahan sebagai staf akademik USM saya ingin merealisasikan moto Kami Memimpin, sebagai tanggungjawab sosial yang perlu digalas sebaik mungkin untuk terus memperkenalkan seni ini untuk anak-anak muda dan masyarakat setempat,” kata Shamsu.

Menurutnya lagi, nama Sila Studio yang dibuka sejak September 2014 diambil dari perkataan “Sila” yang membawa maksud selamat datang selain lebih “mesra” didengar dan diingati.

“Sila Studio membawa satu transformasi terhadap kegunaan tanah liat yang mampu menghasilkan objek kontemporari yang jarang dilihat seperti bekas menyimpan barang, kasut, cengkerang, sayur-mayur, fridge magnet, pin tudung, hiasan rumah dan sebagainya,” jelas Shamsu.

 DSC0484fgn

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PP PBP) pengkhususan Seni Bina USM itu banyak meluangkan masa mengkaji tentang pilihan tanah liat, suhu pembakaran yang optimum dan teknik sepuhan sebelum memulakan sesuatu projek seramik demi memastikan kualiti setiap produk yang dihasilkan di Sila Studio.

Selain itu, bertepatan dengan konsep kelestarian, Shamsu turut mengekpresikan metafora karyanya melalui penghasilan perhiasan rumah yang lebih kreatif dari bahan-bahan kitar semula seperti botol-botol minuman, dan kaca-kaca buangan, malah hasilnya produk-produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi dari pelancong luar yang datang ke studionya.

Keunikan hasil tempa tangannya itu telah berjaya membawanya ke seluruh pelosok dunia termasuklah kota-kota besar dunia selain turut mendapat sokongan padu dari Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM dan Perbadanan Kraftangan Malaysia yang banyak membantu mempromosi hasil-hasil kraf seramik di samping jemputan-jemputan untuk memberikan ceramah dalam bidang kepakarannya itu.

 DSC0504fgn

“Secara peribadi, saya memilih tempat ini untuk berkarya dan mempamerkan hasil-hasil seramik artis-artis lain kerana seni bina rumah itu sendiri begitu unik dan melambangkan keindahan seni yang mengagumkan selain mengambil kira tarikan Balik Pulau sendiri sebagai tempat utama pelancong,” kata Shamsu lagi.

Kini terdapat usaha murni lagi berani untuk memberi nafas baharu kepada bidang kesenian ini dan mendaulatkan semula seni ornamental itu supaya tidak pupus ditelan zaman, walaupun seramik dianggap antara bidang seni yang jarang diberi penilaian tinggi,” tambahnya lagi.

Sehingga kini dia telah membelanjakan sebanyak RM15 ribu hasil simpanannya untuk membangunkan studio berkenaan, namun bersyukur kerana walaupun masih baharu namun pendapatan dari studio ini cukup untuk membayar sewa rumah dan bil-bil serta gaji anak saudaranya yang bekerja di situ.

Lebih mengujakan dan dia berbangga katanya ialah apabila melihat ramai pelapis terutamanya golongan belia yang mahu terbabit dalam industri seramik.

 DSC0550fg

Begitu pun, jelas Shamsu, perkembangan positif itu perlu seiring dengan penerimaan masyarakat dalam menghargai seni seramik kerana tidak semua mampu menempa seramik dengan sebaik mungkin, sebagai contoh teknik kemahiran mengacu seramik sahaja mengambil masa sebulan untuk dipelajari selain memerlukan sifat kesabaran yang tinggi kerana keuntungan bukanlah matlamat utamanya berbanding dengan kepuasan dalam menghasilkan karya seni yang terbaik.

“Kita perlu memberi peluang dan mengambil risiko untuk mengembangkan bakat para belia dalam negara melalui penghasilan seramik ini,” kata Shamsu.

Seni seramik tradisional lebih kepada kegunaan praktikal. Seni seramik moden pula lebih kepada bentuk luaran yang teguh dan tersendiri. Ia memiliki kebebasan tidak terkongkong, di samping memberi penekanan kepada usaha artis untuk bereksperimen dalam menggunakan tanah liat dan sepuhan.

“Seni dan budaya merupakan industri yang mempunyai masa depan dan berpotensi menjana pendapatan negara yang lebih tinggi sekiranya diusahakan tanpa jemu,” kata Shamsu.

Teks: Siti Naquiah Abdillah & Syuhada Abd. Aziz/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2615

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024