NRIC 2015 HASILKAN PENYELIDIK MUDA BANGGAKAN NEGARA
PULAU PINANG, 18 Ogos 2015 - Novel Research and Innovation Competition 2015 (NRIC) pada kali ini menunjukkan peningkatan penyertaan apabila lebih banyak universiti dalam dan luar negara khususnya Thailand mengambil bahagian.
Demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah bagi para pemenang NRIC di Dewan Mutiara, Hotel Tabung Haji, Pulau Pinang malam tadi.
"Penganjuran NRIC pada tahun ini berjaya menarik banyak universiti untuk menghantar penyertaan iaitu sebanyak 133 penyertaan dengan kejayaan membawa 6 buah universiti Thailand untuk menyertai adalah satu kejayaan yang amat membanggakan," katanya.
Penyertaan dari pelajar USM juga turut membanggakan apabila dari 15 penyertaan, USM berjaya membawa pulang 14 pingat masing-masing 4 pingat emas, 6 perak dan 4 gangsa selain satu anugerah Khas 'Sustainable/Green Technology Award' yang turut menunjukkan kualiti penyertaan dari USM amat cemerlang.
Omar berharap pada masa akan datang NRIC berjaya menarik lebih banyak projek penyelidikan pelajar tahun akhir ijazah pertama dalam NRIC 2015 terutamanya dalam kalangan pelajar luar negara terutamanya dalam kalangan universiti di negara-negara ASEAN.
Dengan bertemakan 'Modernising Innovation Beyond Novelty Research', NRIC 2015 menjadi medan pertandingan penyelidikan yang memberi penekanan untuk menghasil dan mengembangkan penemuan baharu dalam bidang Sains dan Teknologi di samping seni dan sastera antarabangsa dengan mengutamakan golongan terkebawah.
Ketua hakim NRIC 2015, Profesor Dr Abdul Latif Ahmad gembira dengan jumlah penyertaan yang semakin besar dengan menunjukkan perkembangan yang baik apabila para hakim yang membuat penilaian berpuas hati dengan kualiti hasil penyelidikan oleh para pelajar pada tahun ini yang dianggap terbaik.
"Sebagai ketua hakim yang terlibat dengan NRIC sejak muka dianjurkan, saya berasa amat berpuas hati apabila menilai setiap projek yang dipertandingankan apatah lagi ada produk yang sudah mempunyai paten dan mempunyai penerbitannya tersendiri yang menunjukkan peningkatan yang amat membanggakan," katanya.
Menurutnya lagi, ada di antara produk yang memenangi produk terbaik NRIC 2015 ini merupakan produk yang telah tersenarai sebagai finalis 10 teratas dalam Anugerah Inovasi Negara 2015 yang merupakan suatu pencapaian yang amat baik.
Tambahnya lagi, dari segi impak, kebanyakan produk ini sememangnya ada yang telah sedia untuk dipasarkan selain mempunyai impak yang tinggi dari segi kelestarian, teknologi hijau, dan yang pentingnya memberi impak kepada masyarakat.
Pada NRIC kali ini, penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggondol Anugerah Utama iaitu The Best NRIC Award membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan piala iringan.
Bersandarkan kekuatan penyelidikan 'Hurma-Advanced Hospital Gown, pelajar Sains Kesihatan ini berjaya menarik perhatian hakim yang turut terdiri daripada wakil industri untuk menobatkan penyelidikan mereka sebagai pemenang utama.
Ketua Kumpulan, Hanisah Hassan yang turut memenangi anugerah 'Best Presenter NRIC 2015, berkata, produk ini secara asasnya adalah sehelai baju hospital, tetapi membawa makna besar kepada pesakit-pesakit terutamanya wanita apabila kami menyediakan sehelai baju yang menutup aurat meliputi tudung dan berlengan panjang.
"Kami telah membuat kajian, di luar negara sudah ada hospital yang menyediakan baju hospital yang menutup aurat, oleh itu, sebagai sebuah negara Islam, kami terpanggil untuk mencipta sehelai baju yang mampu melindungi aurat wanita tetapi dalam masa yang sama ianya fleksibel untuk doktor dan jururawat merawat pesakit," katanya.
Dengan bermodalkan kos sebanyak RM95.00 sehelai baju itu, Hanisah berharap baju yang mereka cipta ini akan dapat digunakan di hospital-hospital kerajaan di negara ini yang pada masa kini, sudah ada hospital swasta yang menempah produk mereka ini untuk ditukar kepada baju hospital mereka yang sedia ada untuk keselesaan para pesakit khususnya pesakit wanita.Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1651