CHILDREN’S WISH SOCIETY PENUHI PERMINTAAN PESAKIT KANSER
KUBANG KERIAN, 18 Ogos 2015 – Sebuah pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), ‘Children’s Wish Society Of Malaysia’ (CWS) berjaya memenuhi permintaan 7 orang pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini.
Naib Presiden CWS, Teoh Teik Hoong berkata, persatuan itu ditubuhkan bertujuan untuk memenuhi impian pesakit kanak-kanak yang terpilih sebagai pendorong untuk mereka lebih bersemangat dalam menerima rawatan terhadap penyakit yang dihidapi.
“7 orang pesakit kanak-kanak dari Wad 6 Utara Onkologi HUSM telah dikenalpasti dan membuat permintaan untuk memiliki permainan video ‘Playstation Portable (PSP)’, lego, patung figura ‘Spiderman’ dan telefon pintar ‘SAMSUNG Tablet’.
Sehingga kini lebih 500 impian pesakit kanak-kanak di seluruh Malaysia telah CWS penuhi sejak hampir 8 tahun penubuhan persatuan ini,” ujar Teik Hoong.
Tambahnya, CWS akan cuba memenuhi permintaan pesakit kanak-kanak lain di HUSM dalam siri akan datang sekiranya masih terdapat pesakit yang dikategorikan menghidap penyakit yang boleh membawa maut.
Sementara itu, pesakit kanak-kanak yang menghidap Kanser Tulang, Farahdina Che Fauzan, 14, melahirnya rasa syukur dan terharu atas sumbangan ‘SAMSUNG Tablet’ yang diterimanya.
“Sejak disahkan menghidap Kanser Tulang pada tahun lalu, saya agak ketinggalan dari segi pelajaran berbanding rakan-rakan lain yang bersekolah dan dengan adanya tablet ini, saya dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan menerusi laman sosial sekaligus bertanyakan tentang pelajaran yang tertinggal,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Anawiah Abdul Aziz
- Created on .
- Hits: 960