USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SKUAD KRIKET USM LAKAR SEJARAH MUNCUL JUARA

PULAU PINANG, 17 Ogos 2015 – Skuad kriket Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila muncul juara dalam Liga Kriket Pulau Pinang 2015 dengan mengenepikan empat pasukan lain buat pertama kali pada kejohanan yang berlangsung di Padang Kriket, USM Minden, Pulau Pinang, di sini semalam yang dijangka mewakili negeri Pulau Pinang pada peringkat kebangsaan pada Oktober nanti.

Liga Kriket Pulau Pinang 2015 yang dianjurkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang ini disertai oleh lima pasukan termasuk dari USM.

Wakil skuad kriket USM yang juga pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Irfan Shah berkata, pasukannya mengadakan latihan secara konsisten sejak April lalu dalam usaha untuk memgetengahkan bakat pemain kriket dalam kalangan warga USM.

“Kehadiran pemain-pemain senior banyak membantu memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda dengan teknik dan kemahiran kriket dalam mempercepatkan proses pembelajaran pemain-pemain yang sebahagian besarnya merupakan para pelajar Pascasiswazah apatah lagi dengan sokongan penuh dan kepercayaan yang diberi oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM melalui prasarana yang ada," kata Irfan.

Rakannya yang juga merupakan pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Sains Kimia Najm Us Saqib, pula berkata pasukannya akan meneruskan kecemerlangan merangkul juara dalam kejohanan kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2015 nanti di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah dengan kemenangan ini, walaupun masih baharu dan besar harapan kami untuk terus melonjakkan nama USM dalam sukan kriket ini di peringkat kebangsaan nanti, pastinya persediaan rapi perlu dimulakan dari sekarang,”katanya lagi dalam nada yang gembira.

Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Mustaffa Kamal Esa berkata, komitmen tinggi yang ditonjolkan oleh para pelajar antarabangsa dalam kejohanan kriket tersebut membuktikan kesungguhan mereka dan pastinya berbayar apabila muncul juara liga berkenaan.

“Komitmen merupakan elemen yang sangat penting dalam apa-apa perkara yang dilakukan termasuklah sukan agar tidak ketandusan pemain berbakat yang boleh kita ketengahkan ke tahap yang lebih tinggi satu hari nanti,”katanya lagi yang turut membantu menyediakan kelengkapan kriket sepanjang latihan persediaan skuad kriket tersebut.

Mustaffa berharap agar komitmen tinggi para atlet dalam apa jua acara sukan yang diceburi dapat menjadi nilai tambah yang mampu membawa dunia sukan ke pentasnya yang tersendiri.

Skuad kriket USM dianggotai oleh empat belas orang pemain antarabangsa dari India dan Pakistan termasuklah Mohd Talha Anees (Kapten), Furkan K. Hashmi, Najm Us Saqib, Ubaid Ullah, Irfan Shah, Faiyaz, Kashifullah Khan, Junaid Rahim, Zubair Mahmood, Deepan, Nishat Akhtar, Toqir A. Rana, Ashutosh Kumar Verma dan Promod Kumar.

Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Ehsan dari Skuad Kriket USM.


  • Created on .
  • Hits: 1582

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024