USM – PNU PERKUKUH KERJASAMA ASEAN
PULAU PINANG, 18 Ogos 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahanan (PPBLT) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jaringan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN melalui penandatanganan memorandum kerjasama (MoA) dengan Princess of Naradhiwas University, (PNU) Thailand di sini, hari ini dengan pertukaran pelajar, usaha penyelidikan dan penerbitan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Omar Osman berharap USM dan PNU akan mengembangkan lagi aktiviti kerjasama dengan bidang-bidang pengajian lain pada masa hadapan.
"USM membuka ruang dan peluang kepada staf akademik PNU untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di USM khususnya dalam bidang bahasa Inggeris melalui kolaborasi ini," katanya.
Manakala Presiden PNU, Penolong Profesor Dr. Rossukon Sangmanee menyambut baik kerjasama yang dijalankan ini dan berharap dapat menjalankan lebih banyak kolaborasi dalam bidang bahasa.
Beliau berharap agar USM sebagai sebuah universiti penyelidikan dan universiti yang mendapat status APEX dapat membantu PNU dalam bidang penyelidikan dan kursus bahasa melalui pertukaran pelajar.
Malam tadi Rossukon Sangmanee turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan Novel Research and Innovation Competition (NRIC) 2015. PNU turut menghantar sembilan penyertaan dan berjaya meraih satu emas, dua perak dan tiga gangsa.
Sehingga kini, USM telah menjalankan kolaborasi dengan pelbagai pihak dan agensi tempatan dan antarabangsa yang melibatkan lebih 230 persefahamaan sejak tahun 2014 termasuk lebih 17 MoU dan 17 MoA dengan pelbagai pihak di Thailand.
Teks: Syuhada Abdul Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 943