USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEIMBANG AKADEMIK DENGAN KO-KURIKULUM ASAS KEJAYAAN

1440059317907

JOHOR BAHRU, 17 Ogos 2015 – Kegembiraan terpahat di wajah 53 orang pelatih Kor Sukarelawan Polis (Suksis) Universiti Sains Malaysia (USM) di Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis IPTA kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) kelmarin.

Pelajar tahun 3 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Kavita Doraisamy berkata, pentauliahan yang bermula dengan perbarisan lintas hormat seawal jam 7.45 pagi amat menguji daya ketahanan fizikal dan mental para pelatih dan setelah selesai, barulah acara utama di dalam dewan iaitu penyampaian sijil mengambil alih dan disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Malaysia dengan jayanya.

"Saya amat berbangga pada hari ini kerana ditauliahkan setelah bertungkus lumus hampir 3 tahun bersama Kor Suksis USM yang banyak mendidik menjadi seorang insan yang lebih berdaya saing," katanya ketika ditemubual selepas Majlis perbarisan.

1439771657180

Tambahnya lagi, kejayaan ini adalah hasil dari kejayaan membahagikan masa dengan membuat jadual harian dengan masa untuk pelajaran dan juga aktiviti bersama Suksis serta menyiapkan segala tugasan akademik awal atau pun pada waktu malam agar tidak mengganggu fokus latihan.

"Keseimbangan amat penting untuk ditekankan kerana bukan suatu tugas yang mudah untuk memberi fokus pada bidang akademik dan juga kokurikulum, akan tetapi dengan disiplin yang cekal kita mampu merealisasikannya," tegasnya lagi.

Kavita juga berharap agak para pelatih muda yang ingin melibatkan diri dalam bidang kokurikulum seperti Suksis ini supaya tidak mempunyai perasaan takut kerana ternyata bahawa kokurikulum memberi pendedahan yang amat berguna dan membantu pelajar kelak tanpa menghalang kejayaan dalam bidang akademik malah membantu dalam nilai mata CGPA pelajar.

Sementara itu, Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor Suksis USM, Nurfarahin Binti Mamat Amin dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat pula bersyukur dan gembira serta mengucapkan terima kasih kepada para jurulatih, ibu bapa dan yang paling utama ialah rakan-rakan sepasukan yang memberi sokongan kerana tanpa bantuan mereka kejayaan ini tidak mungkin digapai.

"Kejayaan ini tidak mungkin boleh dikecapi tanpa komitmen tinggi dalam pembahagian masa untuk pelajaran dan juga kokurikulum," tegas Nurfarahin.

1439771716389

Menurut Nurfarahin, jadual waktu yang diatur bagi dirinya mengandungi masa yang tetap untuk memberi fokus kepada aktiviti kokurikulum serta pelajaran serta pada masa yang sama, waktu terluang digunakan dengan sebaik mungkin untuk menelaah pelajaran.

"Apabila menghadiri aktiviti Kor Suksis, saya memberi komitmen dan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh jurulatih dan apabila berada di dalam kuliah pula, tumpuan dan perhatian penuh juga diberikan kepada apa yang diajar oleh pensyarah," jelasnya lagi.

Nurfarahin akan menyambung pengajiannya dalam pada peringkat sarjana dan berhasrat meneruskan ke peringkat Doktor Falsafah serta menyertai polis secara sukarelawan bergantung pada keadaan dan komitmen yang ada.

Kor Suksis USM dikendalikan oleh pegawai-pegawai kehormat yang didahului oleh ACP/KS Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal selaku Komandan, SUPT/KS Dr. Nazaruddin Zainun, DSP/KS Dr. Mohd Adi Firdaus Tan Abdullah, ASP/KS Ahmad Zulman Mohd Zain, dan ASP/KS Zulkifli Che Hussin. Penyelaras kor ini pula ialah ASP Azmi Shukor dan jurulatih-jurulatih dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1903

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024