USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KETUA POLIS NEGARA TAULIAHKAN 53 PELATIH KOR SUKSIS USM

IMG 20150817 WA0000

BATU PAHAT, 16 Ogos 2015 - Seramai 53 orang pelatih Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) menamatkan latihan tahun ini dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis IPTA ke-11 tahun 2015 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa) USM yang juga merupakan Komandan Kor Suksis USM, ACP/KS Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, beliau amat berbangga dengan para pelatih Kor Suksis USM yang ditauliahkan pada hari ini dengan perbarisan yang amat menarik, cergas dan meyakinkan.

IMG 20150817 WA0001

"Saya juga berbangga dengan 39 orang pelatih Kor Suksis USM yang telah dilantik sebagai Kadet inspektor PDRM baru-baru ini," katanya yang ditemui pada majlis tersebut.

Menurut Ahmad Shukri, beliau berharap 53 orang pelatih yang ditauliahkan ini akan mengikut jejak langkah menjadi kadet Inspektor PDRM untuk memberi sumbangan bakti dan khidmat kepada negara serta berjaya di semua lapangan yang diceburi masing-masing.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi USM yang memberi dorongan serta sokongan kepada Kor Suksis selama ini untuk terus bergerak ke hadapan dan membawa nama universiti ke tahap yang lebih tinggi serta kepada anggota kanan PDRM dan para jurulatih yang telah mengendalikan latihan selama 3 tahun untuk para pelatih Kor Suksis USM," tambahnya lagi.

IMG 20150817 WA0003

IMG 20150817 WA0004

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau berbangga dengan disiplin yang ditunjukkan oleh para pelatih pagi ini dalam memenuhi harapan masyarakat dan negara pada masa hadapan.

"Pada penghujung Februari lalu, seramai 576 orang pelatih Kor Suksis dari seluruh IPTA di Malaysia ini telah dilantik menyertai PDRM sebagai Kadet Inspektor dengan menjalani latihan selama 9 bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak Kuala Lumpur," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Menurut Khalid, Kor Suksis ini juga diharapkan dapat melahirkan graduan yang dinamik selaras dengan falsafah pendidikan negara serta dapat mewujudkan universiti yang bebas jenayah untuk mengangkat martabat PDRM.

IMG 20150817 WA0005

Seramai 1,026 pelatih Kor Suksis dari seluruh IPTA menerima sijil pentauliahan pada majlis tersebut. Sejak ditubuhkan pada 2006, seramai 8,000 orang pelatih telah ditauliahkan menerusi Kor Suksis ini.

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1841

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024