INFORMM SAMBUT HARI RAYA BERSAMA ANAK YATIM
MACHANG, 16 Ogos 2015 – Kemeriahan hari raya masih dirasakan walaupun semalam merupakan hari terakhir syawal. Seramai 27 orang anak-anak yatim Lilbanat Tahfiz & Kemahiran Darul Naim diraikan oleh 65 orang staf dan keluarga staf, pelajar dan pensyarah dari Institut Penyelidikan Molekul (INFORMM) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Pengarah INFORMM Profesor Dr. Norazami Mohd Nor berkata, tanggungjawab masyarakat sekeliling amat perlu untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim.
“Saya gembira bercampur hiba apabila bersama-sama anak-anak yatim dan mengenangkan nasib mereka, jiwa kita terpanggil untuk melakukan aktiviti sebegini untuk mendekatinya,” ujarnya.
Pengasas Rumah Anak Yatim Lilbanat Tahfiz & Kemahiran Darul Naim Banggol Judah Machang, Ustaz Dato’ Nazry Mohd Noor merasa amat teruja dengan program sebegini yang merupakan kali pertama diraikan oleh pihak luar.
“Terima kasih kepada pihak USM Kampus Kesihatan terutamanya INFORMM yang sudi datang bersama rombongan dengan membawa makanan, duit raya dan hadiah untuk anak-anak yatim di sini,” katanya.
Pelajar Doktor Falsafah (Ph.D) INFORMM, Roziana Mohamed Hanaphi dan Memanisawari Dewi Dewadas serta pelajar Sarjana INFORMM Nurul Adila Mohammed dan Asmak Ghazali berkongsi sama perasaan hiba bercampur gembira kerana dapat turut serta melakukan aktiviti sebegini.
Yang turut sama hadir dalam program ini ialah isteri Pengarah INFORMM Profesor Dr. Nik Soriani Yaacob.
Teks: Abdul Aziz Latif/Foto: Mohamad Hairol Rasli
- Created on .
- Hits: 1414