USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NRIC 2015 SASAR LAHIR SAINTIS BERTARAF DUNIA

 DSC0988jhgb

PULAU PINANG, 16 Ogos 2015 – Novel Research and Innovation Competition 2015 (NRIC) yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diharapkan mampu menjadi batu loncatan kepada para penyelidik muda untuk menghasilkan inovasi bertaraf dunia.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein berkata, pertandingan NRIC telah membuka minda para pelajar untuk cemerlang bukan hanya dalam akademik, malah turut menghasilkan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti secara keseluruhan sehingga mampu membawa hasil inovasi mereka ke peringkat antarabangsa.

 DSC1010hh

“Para pemenang pingat emas di NRIC akan diberi peluang untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa khususnya di British Innovation Show (BIS) di London, yang akan ditaja sepenuhnya oleh universiti masing-masing,” katanya.

NRIC telah membuktikan penyelidik-penyelidik muda tahun akhir ijazah pertama USM telah memenangi anugerah berprestij setiap tahun di pertandingan BIS bermula tahun 2009 sehingga 2013.

“Juri-juri yang menilai hasil inovasi para pelajar ini juga mempunyai standard piawai yang sama di peringkat antarabangsa, oleh itu tidak hairanlah jika penyelidikan yang dimenangi di NRIC turut memenangi pingat emas di peringkat antarabangsa,” tambah Adnan lagi.

 DSC1049jghy

 DSC1057vgh

Penganjuran NRIC yang dirintis oleh siswa-siswi USM mencapai kualiti yang tinggi setanding dengan hasrat Universiti untuk memacu kecemerlangan penyelidikan apabila penganjuran yang masuk tahun ke sembilan ini telah berjaya membawa nama USM sebagai pelopor penganjuran penyelidikan dalam kalangan pelajar universiti di negara ini.

“Bertemakan ‘Modernising Innovation Beyond Novelty Research’ penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan pada tahun ini membawa penyelidik muda ini memberikan penekanan untuk mengembangkan penemuan baru khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang berstatus antarabangsa dengan mengutamakan golongan keterbawah tanpa batasan untuk kegunaan masa hadapan,” tegasnya dalam satu sidang media selepas merasmikan NRIC 2015 di Dewan Utama Pelajar, USM hari ini.

Pengarah Projek NRIC 2015, Chew Wei Wen berkata, penganjuran pada kali ini telah mendapat penyertaan yang menggalakkan apabila sebanyak 133 penyertaan dari universiti-universiti tempatan dan Universiti dari negara Thailand turut mengambil bahagian dengan enam kategori dipertandingkan.

“Turut dipertandingan ialah ‘Community Research and Innovation Competition (CoRIC) yang mempertandingan inovasi berkonsepkan ‘power of idea’ dalam libat sana komuniti dengan setiap peserta perlu memberi hasil inovasi yang mempunyai nilai komersil yang mampu memberi penyelesaian kepada masalah global serta memberi impak besar terhadap masyarakat selain memberi penekanan terhadap kelestarian," kata Chew Wei Wen.

CoRIC pada tahun ini telah masuk tahun ke lima penganjurannya di bawah NRIC dan pada tahun ini mendapat sebanyak 17 penyertaan dari pelbagai universiti," katanya lagi.

Tambah Chew Wei Wen lagi, NRIC turut memberi peluang kepada kepada plajar sekolah menengah untuk menterjemahkan hasil penyelidikan mereka khususnya dalam bidang sains dan teknologi apabila turut mempertandingan ‘Innovation Pitch Challenge 2015’ (IPC 2015).

“Dengan membawa tema ‘ Nurturing Borderless Imagination Through Innovation’, sebanyak 15 buah sekolah mengambil bahagian dalam menghasilkan pelbagai reka cipta sains dan teknologi,” katanya.

Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Zamani Abdul Rahim

#MPRC

  • Created on .
  • Hits: 1571

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024