BERSEDIA UNTUK BINA MASA HADAPAN CEMERLANG
PULAU PINANG, 16 Ogos 2015 - Mereka yang akan memasuki kampus universiti dinasihatkan untuk menetapkan pencapaian terbaik dalam membina masa hadapan ketika mengikuti pengajian serta bersedia untuk menghadapi kejutan budaya yang boleh mengganggu proses pembelajaran, sukar bersaing dengan positif dan takut dengan keadaan sekelilingnya walau pun mungkin mereka adalah pelajar cemerlang ketika di sekolah.
"Persediaan menghadapi tekanan mental dan psikologi ini penting yang boleh diatasi dengan membuat persediaan sewajarnya terutamanya dengan meneliti maklumat dari pelbagai sumber untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu apatah lagi dalam keadaan sekarang ini ramai ibu bapa yang terlalu mengawal dan membantu kehidupan anak-anak sedangkan kehidupan di kampus memerlukan seseorang itu berdikari dan bijak membuat keputusan," kata Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein.
Bercakap kepada kira-kira 70 orang pelajar yang bakal memasuki universiti awam dari Parlimen Balik Pulau Melalui Program Orientasi Menara Gading serta ibu bapa mereka di sini hari ini.
"Pelajar-pelajar yang mendapat peluang masuk universiti seharusnya bersyukur kerana beroleh kejayaan memasuki universiti sedangkan ramai lagi yang tidak terpilih malah sekarang ini lebih 5,000 orang merayu memasuki universiti seperti USM dengan tempat yang ada sangat terhad," kata Adnan.
Menurutnya lagi, semua universiti ingin menghasilkan mereka yang cemerlang seawal pengajiannya justru mereka perlu bersedia dan memyesuaikan diri secepat mungkin, sentiasa ingin bertanya supaya jelas dengan ilmu yang diterokai malah pelajar cemerlang adalah mereka yang sentiasa ingin tahu dengan sikap terhadap ilmu yang betul.
"Para pelajar juga perlu tetapkan piawai dan pencapaian yang tinggi dalam akademik dan menjadi cemerlang serta terbaik untuk masa hadapan sesuai dengan minat kerjaya dan cita-cita yang ingin dicapai dan bukan berpuas hati dengan sekadar lulus apatah lagi untuk hanya berpuas hati dengan pencapaian cemerlang di peringkat sekolah,” tegas Adnan lagi.
Beliau menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau dan mengambil tahu tentang pencapaian akademik anak-anak do universiti supaya mereka keluar dari universiti dengan pencapaian cemerlang apatah lagi dengan segala kemudahan yang ada di universiti.
"Kita juga mengharapkan untuk menghasilkan nantinya siswazah yang holistik dan menyeluruh, dengan pencapaian akademik yang tinggi serta menguasai bakat kepimpinan dan kebolehan untuk menjadi manusia yang lengkap dan serba boleh yang diperlukan oleh dunia kerjaya masa hadapan," kata Adnan.
Teks: Mohamad bin Abdullah
#MPRC
- Created on .
- Hits: 1416