USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MELONJAK USM MELALUI MODEL PERNIAGAAN TERBAIK

PULAU PINANG, 15 Ogos 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) sedang meneliti dengan terperinci kaedah yang berasaskan model perniagaan terbaik untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Bengkel Business Model Innovation Lab yang dianjurkan oleh Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan (ICO) USM berkata, salah satu daripada proses tersebut ialah untuk memastikan para pensyarah, Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan Universiti terlibat dalam program yang berkaitan dengan keusahawanan dan perniagaan.

Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Mohd Hassan Mohd Osman sebagai pakar rujuk bengkel. Mohd Hassan mempunyai pengalaman luas dalam usaha pengkomersilan produk dan model perniagaan termasuk penglibatannya dengan sekolah perniagaan di pelbagai universiti terkemuka dunia.

Menurut Omar, ini akan melibatkan perpindahan pengetahuan dan teknologi kepada masyarakat sama ada secara perpindahan tanpa ganjaran ataupun dengan ganjaran serta perpindahan yang boleh mewujudkan hasil dan pendapatan perniagaan di semua peringkat menerusi individu, PTJ dan Universiti.

“Produk yang telah dihasilkan tidak akan ke mana-mana jika pengkomersilan dilakukan tanpa melakukan perniagaan dan memastikan universiti boleh menceburi bidang perniagaan di tahap tersebut yang kini masih dalam proses ekplorasi lagi,” tambah Omar.

Naib Canselor turut membangkitkan soal kemampuan seseorang pensyarah untuk berniaga dan menjana kewangan daripada produk mereka untuk membolehkan USM bergerak ke hadapan.

Sementara itu, Pengarah ICO, Profesor Dr. Rahmat Awang berkata, dengan bantuan ilmu dan pengalaman berkaitan model perniagaan yang diberikan oleh Mohd Hassan yang digabungkan dengan inovasi USM yang sedia ada dijangka mampu membawa USM untuk terus bergerak ke hadapan lagi dalam memenuhi hasrat tersebut.

“Melalui penganjuran bengkel ini, kita akan melihat cara untuk mengembangkan idea demi mencapai kejayaan yang mampu dikecapi oleh USM”, tegasnya lagi.

Bengkel ini disertai seramai 30 orang yang terdiri daripada para penyelidik yang mempunyai produk hasil penyelidikan yang sedia dikomersilkan, ahli-ahli akademik dan juga staf pentadbiran USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 992

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024