KK DIHARAP TERUSKAN TRADISI KECEMERLANGAN
NIBONG TEBAL, 14 Ogos 2015 - Warga Kampus Kejuruteraan (KK) Universiti Sains Malaysia (USM) diharap akan meneruskan usaha membudayakan kecemerlangan dan membanggakan Universiti.Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, KK yang dilihat telah merencanakan pelbagai kejayaan diharap dapat terus mengekalkan momentum mencorak kecemerlangan ke arah yang lebih baik.
Katanya, sumbangan KK dalam mencipta kecemerlangan perlu diperluas, dari kejayaan pelbagai penyelidikan berkualiti kepada menjadi institusi yang relevan kepada masyarakat.
"Kampus kejuruteraan mempunyai potensi yang amat luas untuk mencorakkan kejayaan khususnya dalam memacu bidang ilmu secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena meraikan warga KK dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri & Penghargaan Terima Kasih USM Peringkat Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.
Hadir ke majlis sama ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Dalam pada itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak pula berkata, majlis khas berkenaan dibuat bagi meraikan warga KK dan sebagai tanda terima kasih kepada Universiti.
"Program ini selaras dengan tema Saya Sayang USM seperti yang diterapkan dalam kalangan warga universiti.
"Konsep yang diterapkan juga cukup unik yang mana usaha menjayakan program ini adalah atas sumbangan ikhlas warga kampus dalam kalangan staf akademik dan staf kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P)," katanya.
NC turut menyampaikan sumbangan kepada 30 Anak-anak Tahfiz Madrasah Misbahul Falah, Pondok Lanai, Baling Kedah dalam majlis yang dihadiri oleh lebih seribu warga KK itu.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 927